KUALA TERENGGANU – Pas sudah bersedia menggalas amanah mengurus negara jika diberi peluang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
Bekas Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, negara ini perlu diselamatkan dari pelbagai kemelut yang melanda di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Sebab itu kita anjurkan Himpunan Fastaqim 2.0. Kita himpunkan seluruh ahli dan penyokong Pas termasuk yang mewakili ratusan badan bukan kerajaan (NGO) datang berhimpun di sini. Kita mahu mereka istiqamah.
“Hanya parti yang memperjuangkan Islam boleh menyelesaikan segala kemelut yang berlaku seperti ekonomi, pendidikan dan sosial,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, himpunan dua hari yang akan berakhir tengah malam ini dijangka menyaksikan kehadiran lebih 200,000 umat Islam termasuk yang bukan Islam sebagai solidariti ambang PRU- 14.
Katanya, pada himpunan itu, pemimpin Pas dan NGO pelbagai peringkat akan menyampaikan amanat masing-masing mengajak rakyat agar bersama parti yang berteraskan Islam untuk menewaskan golongan mementing diri sendiri.
“Tema perjuangan kita jika dapat memerintah kerajaan Malaysia ialah “Sejahtera Bersama Islam”. Kita mahu selamatkan negara ini dari skandal kewangan yang parah akibat ditadbir oleh tangan yang tidak amanah.
“Gelombang kesedaran beragama di kalangan rakyat akan memberikan kredit kepada Pas dan parti komponen dalam Gagasan Sejahtera (GS) pada PRU kali ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette