Syahirah bersama 2 lagi saudaranya menaiki motosikal dan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan untuk bersiar-siar di Pantai Tanjung Bira yang terletak kira-kira 192km dari kota Makasar.

JAKARTA – Seorang pelajar Malaysia, Syahirah Amiruddin, maut dalam kemalangan jalan raya di desa Carima, kecamatan Kahu, daerah Bone yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kota Makassar, di Sulawesi Selatan.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi berkata, Syahirah, 22, adalah pelajar jurusan perubatan tahun tiga di Universitas Hasanuddin, Makassar.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, Syahirah bersama 2 lagi saudaranya menaiki motosikal dan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan untuk bersiar-siar di Pantai Tanjung Bira yang terletak kira-kira 192km dari kota Makasar.

Dua adik beradiknya yang terbabit dalam kemalangan iaitu Suria Iskandar Amiruddin, 25, dan Syazwani Amiruddin, 22, dikatakan mengunjungi beliau untuk bercuti bersama.

Mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Wahidin Sudirohusodo di Makassar.

Beliau berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4 petang waktu Indonesia Tengah semalam dan pihak kedutaan telah menghubungi keluarga mereka di Shah Alam, Selangor, petang semalam.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan leher.

Zahrain berkata, pihak kedutaan akan membantu pengurusan jenazah untuk dihantar pulang ke Malaysia atas permintaan keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast