Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian pada Majlis Perasmian Pejabat MIC di Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 OKTOBER 2017

PETALING JAYA – Proses mendekati dan meyakinkan pengundi khususnya dalam kalangan masyarakat India bukan misi yang mencabar dan sukar untuk dilaksanakan oleh MIC menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, proses itu mampu dilaksanakan secara berkesan menerusi pendekatan yang ikhlas setiap pemimpin MIC dan Barisan Nasional.

Menteri Kesihatan itu mengakui persepsi dan pendekatan pengundi di negara ini mengubah landskap politik yang kian mencabar.

“Respon rakyat khususnya pengundi bertambah baik daripada segi sokongannya berbanding dua PRU lalu namun landskap politik semasa sudah menjadikan pendekatan dan pandangan mereka berlainan.

“Jika dahulu di bandar baik di luar bandar kita didekati masalah kebajikan dan kemudahan sekitar tetapi sekarang pengundi di bandar, mereka mahukan mengenai hala tuju dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

“Jadi kita mesti menggunakan pendekatan berbeza dalam mendekati penduduk di bandaraya seperti Petaling Jaya dengan pemimpin ikhlas bermaklumat, dasar yang berfakta dan relavan.

“Mereka tidak mahu pemimpin atau calon yang cakap lain buat lain, tetapi ikhlas dan sedia mendengar pandangan mereka dan BN terbukti mempunyai rekod cemerlang sejak enam dekad lalu,” katanya selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan MIC Bahagian Petaling Jaya Utara.

Tambah Ahli Parlimen Segamat itu, pemimpin MIC perlu bersedia di setiap bahagian untuk menyampaikan segala dasar dan pelan yang dirangka kerajaan untuk kesejahteraan masyarakat India.

Katanya, Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India merupakan ‘senjata’ utama yang perlu disampaikan kepada rakyat khususnya komuniti India.

Ujarnya, ia merupakan cabaran yang mana pengundi akan menyoal dan mengkritik MIC sejak dahulu lagi yang mana BN banyak kali membawa pelan sebegini tetapi gagal terlaksana.

“Kita yang perlu bersiap sedia menerima teguran dan kritikan itu secara rasional dan membina tanpa beremosi atau marah kemudian menterjemahkannya setiap dasar dan pembangunan ikhlas yang sedang dilaksanakan kerajaan BN tanpa berselindung.

“”Kami sudah mengaktifkan semua cawangan atau Bahagian MIC termasuk PJ Utara kali ini supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing secara agresif mengenali, mendekati dan menambah pengundi baharu dan mengembalikan sokongan pengundi sedia ada.

“Selepas sambutan Deepavali 18 Oktober ini, kita akan menstruktur semula jentera kita semua untuk melihat strategi terakhir untuk menang besar pada PRU14 kali ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.