Datuk Huan Cheng Guan

KUALA NERUS – DAP perlu diharamkan kerana dilihat sering memecahbelahkan keharmonian kaum di negara ini dan disifatkan sebagai `kaki buat kacau’, kata Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Sehubungan itu, beliau mahu Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengambil tindakan terhadap DAP sebelum ia merosakkan suasana harmoni masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“DAP ini kerja dia hanya tanam kebencian pada masyarakat, hasut rakyat,” katanya yang dijemput Pas untuk berucap di pentas program Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus malam tadi.

Beliau berkata, sepanjang sembilan tahun DAP memerintah Pulau Pinang, parti itu hanya membawa kesengsaraan kepada rakyat.

“Sepanjang sembilan tahun mereka perintah Pulau Pinang, tarif air sudah empat kali, sewa kedai pun naik 100 peratus, rumah dibina pun bukan mampu milik, tetapi mampu tengok sahaja, tanah pula habis dijual.

“Kalau dua tahun lagi DAP perintah Pulau Pinang, pasir dan pokok pun mereka boleh jual,” katanya disambut sokongan daripada lebih 200,000 ahli dan penyokong Pas.

Beliau berkata, apa yang diingini oleh DAP bukan kuasa untuk memerintah dan berkhidmat kepada rakyat, tetapi hanya untuk kepentingan parti dan individu yang tamakkan jawatan.

“DAP ini kerjasama dengan kaki `U-turn’ (pusingan U) sahaja. Pemimpin mereka pun (DAP) didakwa di mahkamah kerana rasuah, macam mana nak jadi pemimpin negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.