KUALA TERENGGANU – Sebelum ini ada desas desus mengatakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan menyertai Pas.
Bagaimanapun, kemunculannya di pentas Himpunan Fastaqim 2.0 malam tadi tidak memberikan sebarang kejutan kerana tiada penyerahan borang keahlian atau pengumuman dilakukan.
Namun, beliau diberi penghormatan untuk duduk sebaris dengan kepimpinan Gagasan Sejahtera (GS), termasuk diberi peluang berucap.
Dalam ucapan ringkasnya, Khalid memberitahu, beliau kekal sebagai wakil rakyat bebas dan belum berhasrat untuk menyertai mana-mana parti.
Katanya, beliau akan memberi sokongan dan membantu Pas dalam konteks menangani masalah kemiskinan rakyat.
“Saya belum masuk Pas. Saya diberi peluang berucap di pentas Fastaqim ini atas dasar saya rakan Pas.
“Saya kekal sebagai wakil rakyat bebas. Saya bebas berjuang dan bersuara. Tumpuan saya ialah isu kemiskinan, ekonomi dan pendidikan. Saya mahu selesaikan masalah ini,” katanya yang disambut laungan Allahu Akhbar oleh kira-kira 200,000 hadirin.
Khalid digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor menerusi Langkah Kajang yang dicetuskan PKR dengan hasrat untuk menggantikan beliau dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau kini adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pelabuhan Klang.
Beliau memenangi dua kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) ketika itu sebagai ahli dan pemimpin PKR. – MalaysiaGazette