SHAH ALAM – Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang menyertai kembali UMNO tidak tahu menahu mengenai dakwaan kononnya beliau akan membawa masuk beberapa wakil rakyat PKR menyertai UMNO.

Beliau tidak maklum akan dakwaan itu dan tindakan menyertai semula UMNO berseorangan.

“Saya tidak tahulah siapa yang memandai-mandai (kata saya naik bawa masuk ADUN Selangor). Siapa raja putar belit ini saya tidak maklum mana dia dapat informasi berkenaan.

“Yang saya tahu, hanya saya yang naik masuk balik UMNO, saya tidak ada naik bawa masuk sesiapa,” katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan lapan ADUN PKR sepatutnya lompat parti untuk bergabung bersama 12 ADUN Umno dan 13 ADUN Pas bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor.

Malah nama bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga disebut-sebut untuk tujuan sama.

Kedudukan semasa DUN di Selangor ialah DAP (14) kerusi; Pas (13), PKR (13), Parti Amanah Negara (2), bebas (2) dan BN (12) kerusi.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, beberapa pemimpin pembangkang jelas memperlekehkan insitusi beraja di negara ini yang menjadikan salah satu punca beliau meninggalkan pakatan pembangkang.

“Saya tengok ada sesetengah daripada mereka Raja-Raja Melayu pun mereka perlekehkan. Malah mereka ada sebut bahawa Raja-Raja Melayu akan hilang pada 2030.

“Fikiran sebegini tidak boleh ada kerana negara ini sensitif,” katanya hari ini. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.