Ismail Yahya

KUALA LUMPUR – Lima nama besar iaitu pemimpin UMNO dan bekas pegawai kanan kerajaan yang disebut-sebut menyertai Pas pada Himpunan Fastaqim 2.0 Sabtu lalu menafikan dakwaan itu.

Nama mereka tular dalam media sosial kononnya akan menyerahkan borang menyertai Pas kepada presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam kemuncak Himpunan 200K itu.

Bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Datuk Ismail Yahya sendiri menerima berita kononnya dia menyatakan akan pergi ke himpunan itu

“Walhal saya berada di Kuala Lumpur sejak 26 September lagi kerana ada program syariah di sana sehingga 28 September dan pada hari itu juga (28 September) anak kedua saya dimasukkan ke wad di Sunway Medical Centre, Bandar Sunway kerana masalah batu karang.

“Sabtu,  30 September anak saya menjalani pembedahan membuang hempedu. Saya masih di Kuala Lumpur menunggu dia  keluar’,” katanya pada TerengganuTimes.com semalam.

Ismail menyifatkan mereka yang memfitnah sehingga merosak binasakan kehidupan orang lain sebagai tidak berakhlak.

“Tanpa asam garam (fitnah), mereka tidak boleh hidup. Buruk sangka juga tetap di dada mereka. Mereka perlukan itu semua semata-mata hendakkan kekuasaan,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Wan Mat Amin Wan Daud juga menafikan dakwaan beliau menyertai atau akan menyertai Pas.

Beliau juga pelik bagaimana pihak berkenaan boleh menyatakannya menyertai Pas dan akan muncul dalam program (Fastaqim 2.0) anjuran parti itu.

“Saya cukup kesal dan menafikan sekeras-kerasnya tindakan memfitnah itu.

“Macam mana saya hendak ke Fastaqim sedangkan saya dan keluarga bercuti di Indonesia. Sejak Rabu lalu saya bertolak ke Indonesia,” katanya sebagaimana dipetik wartawan Teganukita.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman pula berkata, khabar angin yang tersebar dalam media sosial mendakwa beliau akan menyertai Pas tidak benar sama sekali.

Ujarnya, tidak ada sebab orang ramai mempercayai fitnah itu kerana ia sengaja ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat tidak baik untuk hangatkan program parti itu.

“Semua khabar angin itu tidak benar. Saya mengutuk sekeras-kerasnya orang yang memulakan viral fitnah besar itu. Ia sangat tidak betul dan kerja ‘orang gila’,” katanya.

Bekas Pengarah Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Zakaria Hussin pula turut menafikan khabar angin itu, termasuk menepis dakwaan beliau terbabit dalam Pas.

Katanya, selepas bersara, beliau hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan ibadat di Mak Lagam, Kemaman.

“Saya amat bahagia dengan kehidupan kini selepas bersara pada April 2015. Saya terkejut dengan tular berkenaan yang saya terima sendiri melalui aplikasi whatsapp, selain rakan hubungi saya bertanyakan perkara itu.

“Mulanya saya terkejut, tapi dalam dunia teknologi maklumat yang serba canggih ini, manusia boleh sewenang-wenangnya melontarkan fitnah tanpa batas. Jadi, saya rasa  tidak perlu dilayan,” katanya.

Ditanya apakah ada rancangannya untuk menyertai parti politik, Zakaria menegaskan beliau tidak berminat sebaliknya merasa tenang melayan cucu di rumah selain menumpukan kepada amal ibadat harian

Turut terpalit dengan fitnah itu, bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

Zaharah Sulaiman

Beliau juga tampil menafikan menyertai Pas pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu seperti yang tular di laman media sosial.

Tegasnya, beliau tidak akan sekali-kali mengkhianati UMNO dan masih kekal sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Paya Besar.

Bagaimanapun, hanya dua bekas pegawai kerajaan yang sah menyertai Pas tetapi namanya tidak tular dalam laman sosial.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaafar dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Abdul Rahim Che Daud.

Kedua-duanya menyerahkan borang menyertai Pas kepada presiden parti itu, Datuk Seri Adul Hadi Awang pada malam akhir Himpunan Fastaqim 2.0 Sabtu lalu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang disebut menyertai Pas antara yang hadir pada program itu dan diberi peluang berucap.

Dalam ucapannya, Khalid memberitahu, beliau akan kekal sebagai wakil rakyat bebas dan tidak berhasrat menyertai Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.