Suasana di pintu masuk sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang di sini berikutan penemuan kotak hitam malam tadi.

KUALA LUMPUR – Penemuan sebuah kotak hitam berhampiran kotak suis tiang elektrik di Jalan Bukit Bintang berhampiran pusat membeli-belah, Pavilion, awal pagi tadi bukan bahan letupan seperti yang diviralkan dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengesahkan penemuan kotak hitam bersaiz 10 sentimeter (sm) panjang dan 5 sm lebar itu kira-kira pukul 1 pagi itu.

Katanya, unit pemusnah bom telah dikerah ke lokasi penemuan kotak hitam yang mencurigakan itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Jam lebih kurang 1.50 pagi tadi pihak unit pemusnah bom telah memusnahkan kotak hitam tersebut dan hasil siasatan awal dan pemusnah bom telah mengesahkan bahan itu bukanlah bahan letupan seperti yang dibimbangkan awam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan siapa individu yang meletakkan kotak hitam itu di pusat tumpuan pelancong itu.

“Kita akan menyiasat insiden ini dalam pelbagai sudut berkemungkinan saksi yang melihat insiden akan dipanggil serta Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang ada di kawasan berkenaan akan diteliti,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau turut mengesahkan bunyi letupan yang didakwa dari kotak hitam itu sebenarnya datang dari unit pemusnah bom dan bukannya dari objek kotak yang ditemui orang awam.

Beliau menjelaskan, kotak hitam itu telah ditemui orang awam sebelum dimaklumkan kepada polis bantuan Pavilion yang kemudian melaporkan segera kepada polis untuk tindakan segera.

“Kita sekarang sedang menyiasat objek kotak hitam itu. Kalau lihat dari jauh ia menyerupai seolah-plah bahan letupan dan itulah yang mendorong orang awam cemas dan melaporkan kepada polis bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette