Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media berhubung isu percubaan untuk memorandumkan peranan SPRM di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 3 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Johor Bahru mungkin menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Apa tidaknya, kemungkinan pertembungan antara penyandangnya, Tan Sri Shahrir Samad dan adiknya, Khalid Samad seakan-akan menjadi kenyataan.

Ini kerana menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub, parti memutuskan untuk menurunkan Khalid ke Johor pada PRU14.

“Itu (Shahrir bertembung dengan Khalid) satu kemungkinan. Kita rasa mungkin berlaku tapi semuanya akan kita putuskan melalui permudahkan dalam PH.

“Kita tidak akan umum senarai calon sebelum kita mendapat persetujuan daripada Majlis Tertinggi Pakatan Harapan. Tapi kita boleh mencadangkan tokoh dan tempat yang sesuai untuk kita bertanding,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Salahuddin sehari selepas Shahrir menyatakan hasrat untuk terus mempertahankan kerusi Johor Bahru, sekali gus menolak niat untuk bersara.

Malah difahamkan empat ahli PH sudah menyatakan pendirian untuk bertanding di Johor antaranya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; veteran DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun, PAN harus berunding dahulu dengan PH kerana kerusi Johor Bahru adalah milik PKR.

“Tapi kalau Khalid balik ke Johor tidak semestinya kerusi Johor Bahru itu. Mungkin kita akan letakkan di tempat lain kerana kerusi itu adakah kerusi PKR, bukan kerusi Pas dulu,” katanya.

Malah Salahuddin selaku Ketua pengarah PRU PAN Johor tidak menolak Presidennya, Mohamad Sabu akan menjadi calon di Shah Alam menggantikan Khalid.

“Itu kita bincang nanti, tapi kami tidak menolak itu satu kemungkinan dan kita tidak boleh nafikan.

“Itu cadangan yang telah dikemukakan oleh PAN Selangor, itu hak mereka,” katanya.

Sebelum ini PAN Selangor mahu Mohamad Sabu bertanding di Shah Alam dalam merebut kerusi itu daripada Pas. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.