SERDANG – Tempoh sah laku pemeriksaan kenderaan terpakai oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada enam bulan tidak lama lagi.
Kementerian Pengangkutan secara prinsip telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh itu setelah menerima cadangan berkenaan yang telah dikemukakan oleh Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata akan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan untuk meneliti dan meluluskan segera cadangan itu untuk dikuatkuasakan segera.
Katanya, ketika ini tempoh sah laku pemeriksaan PUSPAKOM tempohnya hanya sebulan sahaja.
“Apabila kita (penjual) menjual kereta kepada pembeli baharu, kebiasaannya  juga perlu ditukar dalam tempoh sebulan.
“Dalam tempoh itu, penjual perlu menghantar kereta menjalani pemeriksaan PUSPAKOM yang mana tempoh sah laku pemeriksaan itu hanyalah bertahan selama 30 hari.
“Jadi kita bersetuju dengan cadangan memanjangkan tempoh sah laku itu kepada enam bulan untuk memudahkan segala proses pembelian dah penukaran hak milik diselesaikan tanpa masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FMCCAM, Persatuan Penjual Kenderaan Singapura (STA) dan Persatuan Kenderaan Terpakai Thailand (AUCT) di Seri Kembangan malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Tiong Lai berkata, apa pun kementerian perlu terlebih dahulu meneliti perjanjian antara kerajaan dan PUSPAKOM serta aspek peruntukan undang-undang dan implikasinya terlebih dahulu.
“Saya tak pasti perjanjian dari aspek undang-undang yang ada diantara kerajaan dan PUSPAKOM, kena memeriksa peruntukan undang-undang dan implikasinya dalam aspek ini.
“Lagi pun, kita tidak ada masalah kerana perkara ini tidak perlu dirujuk kepada pembentangan di Kabinet menteri sebaliknya ia dibawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
“Selepas proses penelitian undang-undang selesai dan tiada pertindihan peraturan, saya akan mengarahkan JPJ untuk meluluskan segera dan dia mempunyai kuasa untuk menguatkuasakannya segera mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya lagi.
Pemeteraian MoU hari ini adalah bertujuan untuk membentuk persetujuan strategik untuk menyediakan kolaborasi perniagaan yang berpusat dan sah.
Ia dijangka akan mewujudkan pasaran yang tunggal dan luas sesama negara-negara rantau ASEAN yag khusus untuk meningkatkan pemilikan kenderaan baharu dan terpakai di rantau ini.
Usahasama itu akan diwakili oleh industri kereta terpakai yang kolektif dari tiga negara untuk menyuarakan input masing-masing kepada kerajaan negara masing-masing sekaligus memperkasa polisi automobil ASEAN untuk industri automobil.
Memandangkan jualan kereta terpakai bertembung dengan jualan kenderaan baharu, mempromosikan platform yang efisien dan sah disisi undang-undang secara serantau  akan meningkatkan lagi jualan kenderaan baharu dan pengeluaran kenderaan bermotor di rantau ASEAN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast