Ketua pasukan Haas, Gunther Steiner sedang berbincang dengan pegawai Grand Prix Malaysia berhubung pampasan akibat kerosakan pada jentera yang di pandu Romain Grosjean semasa sesi latihan kedua.

Tayar belakang kanan jentera Grosjean pecah apabila melanggar saliran air yang penutupnya telah tertanggal ketika jentera pemandu Mercedes, Valtteri Bottas melaluinya pada selekoh 13 sebelum itu.

Jentera pelumba itu berpusing pada kelajuan 170 batu sejam (273 kilometer sejam) dengan impak 17G ketika melanggar penghadang pada sesi latihan perlumbaan Formula Satu (F1) Malaysia itu.

Pemandu warga Perancis yang tidak mengalami kecederaan pada insiden tersebut menggesa langkah diambil bagi memastikan kemalangan seperti itu tidak berulang manakala Steiner berkata, kejadian seumpama itu ‘tidak boleh diterima’ dan ‘tidak menepati standard’.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) percaya kegagalan pada peteri menyebabkan penutup saliran tertanggal dan jurutera litar terpaksa memeriksa semua penutup saliran yang tidak dipasak.

Steiner telah menemui Ketua Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), datuk Razlan Razali pada pagi hari perlumbaan, Ahad lalu, bagi membincangkan insiden tersebut dan permohonan tuntutan pampasan terhadap kerosakan yang dialami, lapor motorsport.com.

Lantai dan sayap depan baharu jentera itu mengalami kerosakan yang tidak boleh diperbaiki dengan anggran kerugian bernilai kira-kira £500,000 – jumlah yang besar bagi pasukan kerdil seperti Haas.

Mengulas lanjut mengenai insiden tersebut, Steiner berkata: “Ia adalah di luar kawalan kami,”.

“Saya tidak boleh berkata -‘oh, OK, kini kami lepaskan tiga suku juta dolar (AS$750,000) kerana seseorang terlupa untuk mempateri sesuatu, semuanya berada dalam keadaan baik,”.

“Kami mengeluarkan belanja untuk datang ke sini, kami membayar fi untuk datang ke sini, semua orang perlu mengeluarkan wang. Kami berbincang mengenainya dan mereka sangat profesional mengenainya. Mereka mempunyai insurans, kami akan lihat apa yang boleh kami lakukan.

Para pegawai litar membincangkan situasi itu secara dalaman dan perbincangan lanjut dengan Haas dijangka dilakukan ketika Grand Prix Jepun pada hujung minggu ini. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast