Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu agar maklumat keselamatan didedahkan, khususnya mereka yang daif tentang keperluan menjaga kerahsiaan operasi dalam soal penganjuran pesta arak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak berkuasa itu juga tidak akan menggadaikan keselamatan rakyat dan harta benda awam, hanya kerana wujud tekanan daripada pihak-pihak tertentu.

“Keputusan untuk tidak membenarkan Better Beer Festival 2017 diadakan bukan sesekali dibuat atas sebab ‘Perceived Threat’ (pengertian ancaman) tetapi berpandukan maklumat keselamatan yang diterima bahawa wujud perancangan mensabotaj acara berkenaan jika ia diteruskan.

“Secara umum sedia maklum bahawa penganjuran festival yang sama pada tahun-tahun lalu tidak pernah disekat kerana tidak wujud maklumat mengenai ancaman sedemikian sebelum ini.

“Bantahan dibuat pada tahun ini, tidak ada sangkut paut dengan sensitiviti keagamaan, perkauman ataupun desakan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kenyataan daripada beberapa pihak yang mempertikai keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak menyokong penganjuran Better Beer Festival 2017 dan juga desakan agar asas-asas bantahan keselamatan dizahirkan untuk makluman umum.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, beliau menafikan keputusan tersebut dibuat atas desakan politik.

“Keputusan yang diambil adalah perlu kerana kita semua harus memahami bahawa memerangi ancaman militan (yang mengancam pesta arak jika diteruskan) bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kuasa-kuasa besar dunia yang memiliki kecanggihan teknologi sekalipun, gagal menyekat negara mereka dari terus menjadi sasaran militan.

“Apa yang jelas, tindakan pencegahan lebih berkesan daripada membiarkanm jiwa terkorban dahulu, sebelum tindakan eksekutif diambil.

“PDRM tidak akan berganjak daripada keputusan yang telah dibuat demi menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia, kerana ancaman yang wujud adalah nyata serta tidak boleh dikompromi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette