Anina Saaduddin

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus menerima kecaman daripada mereka yang dikaitkan dengan sogokan  seperti yang didedahkannya kelmarin.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi PPBM Anina Saadudin, menepis dakwaan menyatakan bekas pemimpin yang meninggalkan parti itu ada menerima tawaran wang seperti didakwa Syed Saddiq.

Anina menggesa Syed Saddiq menunjukkan bukti menyokong dakwaan itu, dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan boleh dilakukan.

“Saya cabar Syed Saddiq tunjukkan hitam putih bahawa ahli yang keluar parti terima dedak dan tunjukkan bukti. Bukannya buat sidang media tapi laporan kepada SPRM tidak buat,” katanya.

Beliau mengingatkan Syed Saddiq supaya bercakap beralaskan fakta dan bukan didorong emosi semata-mata.

“Jangan kerana saya keluar parti dan tidak setuju dengan parti dan tak kira sesiapa yang keluar parti maka mereka dilabel sebagai pemakan dedak,” katanya.

Kelmarin, Syed Saddiq pada satu sidang media mendakwa ada “tangan ghaib” cuba merasuah beliau sebanyak RM5 juta untuk keluar parti dan tawaran sama turut ditawarkan kepada pemimpin lain yang sudah meninggalkan parti itu.

Beliau mendakwa wang itu ditawarkan dengan syarat beliau menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selain Anina, bekas Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman juga menafikan ada menerima tawaran wang itu.

Anina dan Hamidah meninggalkan PPBM pada 16 September lalu kerana tidak berpuas hati dengan budaya atau amalan dalam parti berkenaan.

Sebelum itu, seorang lagi pengasas bersama PPBM, Kamarulazman Habibul Rahman meninggalkan parti itu pada April lalu dan mendakwa pemimpin parti terbabit mengamalkan kronisme.

Dalam laporan Julai lalu, Anina sebelum ini pernah berdepan dakwaan menerima RM7 juta daripada pemimpin parti pemerintah untuk kembali menyertai UMNO. – MalaysiaGazette