Annuar Musa

ALOR SETAR – Setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri dalam memimpin negara ini berdasarkan kesesuaian semasa, justeru tidak boleh dibandingkan antara satu sama lain, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata cara kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang adalah sesuai dengan landskap politik dan ekonomi pada masa ini.

“Pemimpin itu datang dan sesuai pada zamannya. Macam (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) sesuai pada zamannya, 23 tahun tempoh (menjadi perdana menteri).

“Selepas dia tak jadi perdana menteri, dia kena terima hakikat Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) (jadi Perdana Menteri) (dan) sesuai zaman Pak Lah.

“Bila Pak Lah berhenti, orang UMNO juga berpakat untuk beri (jawatan) kepada Datuk Seri Najib. Datuk Seri Najib lebih sesuai pada masa ini dan lebih sesuai daripada Tun (Dr) Mahathir, sesiapa yang hendak membawa Tun Mahathir pada masa sekarang itu sudah tunggang terbalik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi anggota panel Dialog ‘Perjuangan 4 All’ di sini malam tadi yang turut disertai Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata UMNO pada masa ini tidak boleh disamakan langsung dengan parti itu semasa memperjuangkan kemerdekaan negara dahulu.

Ini kerana kata Dr Mahathir, UMNO zaman merdeka tidak dipimpin oleh penyangak.

Mengulas lanjut, Annuar berkata rakyat tahu Najib telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik malah turut diberi pengiktirafan oleh dunia dari segi pertumbuhan ekonomi dan hubungan diplomatik.

“Satu dunia bagi pengiktirafan. Ini tidak boleh hendak dipadam begitu sahaja oleh Dr Mahathir, transformasi ekonomi lebih baik di era (kepimpinan) Datuk Seri Najib, kebebasan dalam soal demokrasi dan memilih lebih baik di era Datuk Seri Najib, sistem pemilihan dalam UMNO lebih baik di era Datuk Seri Najib.

“Pada saya tidak perlu bandingkan, Dr Mahathir sesuai pada zamannya, (justeru) lebih baik beristirahat. Beri kepercayaan kepada orang lain pula, kita kena terima realiti,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast