KUALA LUMPUR – Selepas hampir lapan bulan menjalinkan cinta, pasangan kekasih, Elfira Loy, 23, dan Sufian Suhaimi, 25, selamat melangsungkan pertunangan kira-kira pukul 4 petang tadi di kediaman keluarga artis wanita berkenaan di Alam Damai, Cheras di sini.

Majlis yang dihadiri sekitar 100 orang tetamu itu turut menyaksikan Elfira menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sufian sebagai simbolik termeterai ikatan pertunangan mereka.

Pada majlis itu, pasangan ini mengenakan dua persalinan. Elfira sendiri menggayakan rekaan Rizman Ruzaini selain disolek oleh jurusolek terkenal Najeeb Azami.

Sufian pula memakai baju batik rekaan Fairuz Ramdan dan baju Melayu Rizman Ruzaini.

Malah selepas perbincangan, keluarga masing-masing juga sepakat memilih bulan Mac tahun depan sebagai detik hari bersejarah mereka.

“Bulan Mac boleh dikatakan terlalu istimewa buat saya dan dia (Sufian). Malah Mac depan juga kira genap setahun perkenalan kami. Alhamdulillah semoga dipermudahkan perancangan menuju ke gerbang perkahwinan kami.

“8 Mac lalu ketika saya genap 23 tahun, tepat jam 12 tengah malam dia tunggu di depan rumah dengan jambangan 23 kuntum bunga ros.

“Saat itu juga dia menyatakan kesungguhannya untuk serius dengan saya. Kiranya itu detik rasmi kami menjalinkan hubungan cinta.

“Lebih penting, dia tidak membelakangkan ibu bapa dalam hal kami.

“Ikutkan kurang enam bulan lagi, kami akan berkahwin. Masa pun berjalan begitu pantas. Mujur keluarga banyak membantu memudahkan urusan persiapan tunang dan selepas ini kahwin pula,” kata Elfira menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sufian pula berkata, kehadiran Elfira selama ini bagai melengkapi hidupnya.

“Alhamdulillah akhirnya hubungan kami bagai menuju ke arah penamat yang pasti. Lebih penting keluarga juga merestui apa yang kami rencanakan. Di sebalik pelbagai ujian kecil yang pernah melanda dalam hubungan kami, semuanya bagai memberi hikmah untuk terus menguatkan lagi ikatan jalinan kami.

“Saya bersyukur dipertemukan insan sepertinya. Dia menjadi individu yang sering mencabar saya melakukan apa yang dirasakan diri ini tidak mampu dilakukan. Pendek kata dia sering memberi sokongan dan galakan untuk saya menjadi insan yang lebih baik.

“Kami juga tidak melihat usia kami berkahwin muda ini sebagai satu isu besar atau hal yang ‘rare’. Ada yang menggelarkan kahwin muda ini sebagai ‘millenial couple’. Apa yang lebih penting ialah untuk kami sama-sama memikul tanggungjawab selepas berkahwin nanti,” kata Sufian.

Menyingkap kronologi sensasi perkenalan mereka sejak tahun lalu, ia bermula apabila Sufian mengeluarkan kenyataan untuk sebuah penerbitan bahawa gadis Elfira menjadi ‘celebrity crush’ dirinya. Seterusnya ia membawa putik perkenalan mereka hingga ke laman Twitter.

Seterusnya ketika rancak mempromosikan single pertamanya, Terakhir, dan menjadi tetamu di konti radio ERA, Elfira terlebih dahulu memberikan kejutan dengan menjadi pemanggil misteri. Daripada situ, Elfira mengajak Sufian bertandang ke kafe miliknya, Love Me Seven Days.

Sufian memenuhi undangan Elfira ke kafe berkenaan bersama deejay radio ERA (team JoHaRa). Bagaimanapun pertemuan berkenaan yang dilihat berakhir di situ saja, nampaknya berpanjangan ke tahun ini.

Selepas menerima kejutan 23 kuntum bunga ros sebagai simbolik angka 23 tahun usia Elfira, si genit yang juga ahli perniagaan terkenal itu turut mengejutkan ulang tahun ke-25 tahun Sufian, Mei lalu. Elfira mengajak Sufian menaiki helikopter dan seterusnya meraikan hari lahir lelaki berkenaan di Seremban.

Tidak menunggu lama, perancangan mengadakan majlis merisik sekali gus berhari raya mengeratkan silaturahim berlangsung pada 30 Jun lalu di kediaman keluarga Elfira menjadi pengukuh hubungan terjalin.

Pada majlis pertunangan mereka, Elfira menyerahkan hantaran antaranya berupa tepak sirih, set haruman Dior, kek dan sepersalinan kain. Manakala Sufian pula menyerahkan cincin, sirih junjung, set haruman Dior, manisan dan sepersalinan kain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast