KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Jamal Md. Yunos memecahkan botol arak di luar bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor semalam tidak mendapat restu UMNO, tegas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO  itu berkata, tindakan Jamal itu dilakukan atas kapasitinya sebagai pengerusi sebuah NGO dan tindakan seorang ketua bahagian tidak mencerminkan pendirian parti terhadap isu tersebut.

“Kita tidak mendukung tindakan dia (Jamal), dia juga pengerusi NGO, dia memang salah seorang ketua bkhagian daripada 191, jadi 190 ketua bahagian tidak pecahkan apa-apa,” kata beliau semasa sidang media selepas ucaptama Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN di sini hari ini.

Semalam, Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan NGO bertindak memecahkan botol arak sebagai tanda protes kepada kerajaan Selangor selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatakan negeri itu akan membenarkan festival arak itu sekiranya penganjur mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Mohamed Azmin juga mengatakan kerajaan negeri membenarkan acara sebegitu kerana penganjur mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, Jamal yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata acara melibatkan alkohol adalah tidak bermoral dan merosakkan orang muda.

Awal pagi ini, polis menahan Jamal susulan kes tersebut. – MalaysiaGazette