Tan Sri Noh Omar.

PUTRAJAYA – Walaupun Projek Perumahan Rakyat (PPR) terletak bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor, tetapi Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap menyalurkan bantuan.

Ini diakui Menterinya, Tan Sri Noh Omar yang memberi contoh, kementeriannya memperuntukan kira-kira RM10 juta bagi kos penyelenggaraan PPR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Katanya, DUN itu dimenangi wakil rakyat Pas, Datuk Iskandar Abd Samad yang dilantik sebagai anggota Exco bagi portfolio Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar.

“Tapi apa dia buat untuk menambahbaikkan PPR di kawasannya? Lif teruk dan keadaannya cukup sedih.

“Wakil rakyatnya tak buat kerja langsung, tapi boleh menang juga (pada PRU 13). Pelik saya. Kerjanya asyik bantai saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Konvensyen JMB/MC peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dalam sesi itu, Noh menerima banyak aduan daripada wakil penduduk berhubung kegagalan kerajaan PH Selangor menyelia dan menyelenggara perumahan PPR walaupun itu tanggungjawabnya.

Menurut Noh, beliau akan mengemukakan permasalahan dibangkitkan itu kepada Kabinet untuk diambil perhatian.

Mengenai masalah penyewa atau pemilik PPR gagal menjelaskan bil air dan elektrik, beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor memberitahu, JMB dan MC tidak ada kuasa untuk memotong bekalan itu.

Sebaliknya, kata beliau, tugas memotong bekalan air dan eletrik yang tertunggak ialah kerja jabatan air dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Bagaimanapun, saya akan bincang dalam Kabinet agar tugasan dan tanggungjawab memotong bekalan air yang tertunggak kepada JMB/MC.

“Ini sebagai pengajaran kepada penyewa atau pemilik agar menyelesaikan hutang bil dengan JMB/MC.

“Mustahil mereka tak ada duit nak bayar. Saya tengok setiap mereka ada kereta, ada saluran Astro. Boleh bayar pula ansuran bulanan dan bil televisyen swasta itu. Nak bayar bil air, liat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast