CHITTAGONG – Ribuan umat Islam di Bangladesh berhimpun menuntut kerajaan negara mereka membekalkan senjata kepada pelarian Rohingya.
Pihak berkuasa memaklumkan, lebih 15,000 orang menyertai himpunan di Chittagong, bandar kedua terbesar di Bangladesh sebagai bantahan terhadap pembunuhan Rohingya yang dianggap mereka sebagai sangat kejam.
Jurucakap penganjur perhimpunan Hefazat, Azizul Hoque Islamabad berkata, mereka terlalu sedih melihat muslim Rohingya yang hilang arah tuju akibat kekejaman rejim Myanmar.
“Kami menuntut pembunuhan beramai-ramai Rohingya dihentikan. Kami mahu kerajaan melatih dan memberikan senjata kepada Rohingya supaya mereka boleh membebaskan tanah air mereka,” katanya.
Setakat hari ini, lebih setengah juta etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, sejak serangan Muslim Rohingya ke atas beberapa pos kawalan polis sehingga mencetuskan tindak balas kejam tentera Myanmar.
Mereka mendakwa, tentera Myanmar bersama penduduk etnik Rakhine menyembelih dan membakar banyak perkampungan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan operasi itu sebagai pembersihan etnik, namun tentera Myanmar menyalahkan pemberontak Rohingya. – Agensi