Home Utama Noh tidak ghairah jadi MB

Noh tidak ghairah jadi MB

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar berkata, beliau tidak bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor jika Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Katanya, segala usaha yang dilakukannya dan BN dalam membantu rakyat Selangor selama ini adalah kerana keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat negeri itu.Beliau berkata, seorang ahli politik atau pemimpin perlu mempunyai jiwa besar dalam memberi khidmat dan bukannya ghairah mengejar jawatan.

“Seorang pemimpin tidak seharusnya mempunyai cita-cita untuk memegang jawatan, ini boleh membuatkan mereka kecewa dan bila tidak terpilih boleh menyebabkan perpecahan parti.

“Jawatan terpulang pada pucuk pimpinan, keutamaan kita kini adalah untuk memenangi Selangor terlebih dahulu. Sesiapa sahaja yang layak boleh menjadi menteri besar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan kebakaran bersama penduduk Flat Taman Seri Aman, Petaling Jaya hari ini.

Selangor diperintah kerajaan pakatan pembangkang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 2008.

Pada majlis itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi membaik  pulih dan menaik taraf sistem pencegahan kebakaran di flat tersebut.

Beliau turut  mengesa Jawatankuasa dan Persatuan Penduduk perumahan strata untuk menubuhkan komuniti bomba masing-masing.

“Ini sebagai langkah persediaan tambahan bagi mengelak tragedi, tambahan bomba komuniti ini berbeza daripada bomba sukarela. Bomba sukarela perlu berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast