Gambar hiasan

Hong Kong- AIA Group Ltd., menafikan spekulasi mengenai kononnya syarikat tersebut akan mengurangkan pegangan dalam operasi di Malaysia.

Syarikat insurans terkenal itu menegaskan ia tidak mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak untuk mengurangkan pegangan dalam AIA Malaysia.

“Tiada perbincangan. Itu yang boleh saya katakan. Jujurnya, kami sangat berhati-hati dengan rundingan sulit, bukan hanya di Malaysia tetapi di mana jua.

“Tetapi di dalam kes ini (AIA Malaysia), tiada rundingan.

“Di mana kami beroperasi, kami memiliki sebanyak mungkin,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan dan Presiden, AIA Group, Ng Keng Hooi kepada StarBiz.

Ng berkata demikian ketika bercakap dengan pemberita-pemberita asing semasa hari media AIA selama dua hari di sini.

AIA Group memiliki 100 peratus kepentingan dalam AIA Malaysia dan beroperasi dalam 18 pasaran di Asia Pasifik.

Pada Jun, Bank Negara Malaysia telah menghantar surat kepada syarikat-syarikat insurans asing meminta mereka mengurangkan pegangan asing kepada maksimum 70 peratus bagi meningkatan penyertaan tempatan dalam sektor tersebut.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyebut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) Inc. berminat untuk menjadi pembeli kepentingan yang ditinggalkan oleh syarikat insurans asing.-MalaysiaGazette