Pekerja menunjukkan sambungan paip haram pada Serbuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Tapak Projek Menaik Taraf Jalan Lingkaran Tengah (MRR2), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini menyerbu sebuah tapak projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) terletak di sebelah Taman Melati kerana mencuri air hampir setahun lebih dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM145,364.

SPAN bertindak selepas menerima aduan daripada pihak Air Selangor dan hasil siasatan berjaya menemui saluran paip tidak sah menggunakan paip jenis High Density Polyethylene (HDPE) yang disambung daripada paip milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Loh Pit Mui

“Sambungan yang disyaki tidak sah ini dipercayai digunakan untuk aktiviti tapak pembinaan dan menampung kegunaan pekerja,” kata Loh Pit Mui, Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN semasa ditemui selepas serbuan hari ini.

Serbuan dilakukan dengan kekuatan hampir 20 anggota SPAN dan Air Selangor.

Ujian klorin juga dilakukan di tapak yang mengesahkan bekalan air diterima merupakan air terawat.

SPAN akan membawa kes tersebut ke mahkamah dan mengheret kontraktor terlibat ke muka pengadilan.

Kontraktor tersebut akan didakwa bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Loh, serbuan tersebut dibuat hasil aduan orang ramai dan siasatan dijalankan oleh SPAN selama sebulan sebelum tindakan tersebut diambil.

Bagaimanapun, semasa serbuan dilakukan tiada wakil kontraktor berada di tapak dan beberapa pekerja dilihat menjalankan kerja di tapak pembinaan seperti biasa.- MalaysiaGazette