Abdul Mutalib Alias

KUALA LUMPUR: Pembangunan 259,882 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara telah diluluskan sehingga September lepas dan 141,661 daripadanya kini dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, setakat ini sejumlah 8,475 unit kediaman PR1MA telah siap dibina di seluruh negara dengan 934 kunci telah diserahkan kepada pemilik kediaman.

Abdul Mutalib berkata, sejumlah 11,944 unit rumah PR1MA dengan anggaran nilai jualan RM3 bilion, terjual setakat ini serta lebih 1.5 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan PR1MA dan 166,972 daripadanya memohon untuk membeli rumah PR1MA.

“Kebanyakan pembangunan kediaman PR1MA terletak di Selangor iaitu sebanyak 19 peratus atau 48,419 unit.

“Sebagai salah satu pusat ekonomi penting negara, ramai golongan M40 bermastautin di negeri ini disebabkan oleh peluang-peluang pekerjaan yang ada dan PR1MA sentiasa komited dalam usaha menyediakan keperluan perumahan golongan M40 yang bermastautin di sini,” katanya kepada Bernama.

Selain warganegara Malaysia, antara syarat kelayakan bagi bakal pembeli PR1MA adalah berpendapatan bulanan isi rumah individu atau keluarga antara RM2,500 hingga RM15,000, bujang atau berkahwin serta berumur 21 tahun ke atas dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Abdul Mutalib berkata, projek PR1MA yang merupakan sebahagian Agenda Perumahan Negara dipertanggungjawabkan dalam menyediakan 500,000 unit kediaman mampu milik, sambil menganggarkan nilai pembangunan kasar di semua kawasan projek tersebut sebanyak RM125 bilion.

“Kami berharap agar PR1MA dapat menjadi ‘pemangkin’ dalam menggalakkan lebih ramai lagi pemaju swasta memberi tumpuan untuk menyediakan kediaman yang bersesuaian untuk golongan M40 ini,” katanya.

PR1MA ditubuhkan mengikut Akta PR1MA 2012 yang menjual unit kediaman dengan harga bermula RM100,000 hingga RM400,000 yang mana 70 peratus daripada kediaman itu adalah jenis bangunan tinggi dan lain-lain termasuklah pembangunan bercampur, rumah teres setingkat dan dua tingkat serta banglo.

Unit rumah PR1MA juga dijual pada harga 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast