Home Utama Kerajaan belanja hampir RM180b untuk kesihatan sejak 2009

Kerajaan belanja hampir RM180b untuk kesihatan sejak 2009

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM178.9 bilion untuk perkhidmatan kesihatan sejak tahun 2009.

Jumlah itu hasil daripada pelbagai inisiatif dan usaha untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Salah satu daripadanya adalah inisiatif Klinik 1Malaysia, yang mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan kini mempunyai 361 cawangan di seluruh negara.

Klinik 1Malaysia ditempatkan di lokasi-lokasi strategik seluruh negara, dibuka 7 hari seminggu dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan menawarkan rawatan ringan pada caj cuma RM1, malah percuma buat warga emas dan orang kelainan upaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan turut mengumumkan banyak kemudahan dan fasiliti lain buat rakyat Malaysa, seperti membina dan menaik taraf 6 buah hospital di Perak, Sarawak, Kelantan, Kedah, dan Sabah.

Pusat Kanser dan Pusat Jantung juga disediakan di hospital-hospital utama di setiap zon, yang telah memberi rawatan kepada lebih 300,000 pesakit.

Kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta setiap tahun bagi meringankan kos rawatan hemodialisis, yang telah memanfaatkan seramai 1.5 juta pesakit.

Pada masa sama, kerajaan turut melihat kepada penjanaan sektor ekonomi negara dan meningkatkan peluang pekerjaan melalui industri pelancongan kesihatan.

Pada tahun 2016, industri ini berjaya menjana pendapatan RM1.12 bilion dan kerajaan mensasarkan untuk menjana RM2.8 bilion daripada industri pelancongan kesihatan menjelang tahun 2020 nanti.

Najib menambah, Malaysia mempunyai banyak kelebihan bagi pelancongan kesihatan, antara lain, kepakaran doktor-doktor antara yang terbaik di dunia, perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja lebih berkualiti tetapi juga jauh lebih murah.

“Contohnya pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat menelan belanja antara AS$70,000 hingga AS$200,000, tetapi di Malaysia harga puratanya sekadar AS$9,000.

“Kesemua ini dan banyak lagi telah membawa kepada Malaysia dinobatkan Destinasi Pelancongan Kesihatan dan Perubatan Terbaik dunia selama 3 tahun berturut-turut,” katanya dalam blog beliau.

Beliau menegaskan kerajaan sentiasa melakukan pemantauan, penyelenggaraan dan penambahbaikan terhadap bukan sahaja infrastruktur dan bangunan, tetapi juga dari segi tahap dan kualiti kehidupan kakitangan yang bertugas dalam bidang kesihatan.

“Insya-Allah, kesemua ini akan diberi perhatian serius dan dipertimbangkan secara mendalam oleh Kerajaan, agar rakyat Malaysia akan dapat terus menikmati penjagaan kesihatan berkualiti di mana jua mereka berada,” katanya. – MalaysiaGazette