Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

PULAU PINANG – Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. menegaskan tiada keperluan mendesak buat masa ini untuk pihaknya menyiapkan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pengarah Eksekutif Kanannya, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, ini kerana pelaksanaan projek itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebaliknya dirancang dimulakan pada 2023.

Ujar beliau, pihaknya juga tidak mahu membazirkan usaha dan sumber bagi menyiapkan kajian kebolehlaksanaan itu yang kosnya kini ditanggung terlebih dahulu oleh konsortium berkenaan.

“Sebaliknya tumpuan kita ketika ini adalah untuk melaksanakan dua projek jalan utama dan kita berharap mendapat kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) segera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung janji mereka untuk menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan jambatan ketiga atau projek terowong dasar laut.

Menurut Fadillah, pihaknya tidak boleh meluluskan projek itu berdasarkan surat dua muka surat dan meminta kerajaan DAP Pulau Pinang mengemukakan kajian terperinci kebolehlaksanaan mengenai projek jalan dan terowong yang membabitkan kos RM305 juta.

Terdahulu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilaporkan berjanji untuk menyerahkan laporan kajian terbabit selepas menulis surat kepada Fadillah bagi menggantikan projek terowong dasar laut kepada jambatan ketiga pada April tahun lalu. –  MalaysiaGazette

Comments are closed.