Dr Zaininah Mohd Zain

Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata, Indra Kurniawan Mohd Amirul, 12, dan Zunnun Misri Nasrun, 12, menunjukkan reaksi positif terhadap rawatan yang diberikan.

“Kedua-duanya mengalami kesan lecur pada badan pada tahap 20 ke 30 peratus. Selepas hampir sebulan rawatan, mereka kini hampir pulih dari luka fizikal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HKL, hari ini.

Seorang lagi mangsa Muhammad Shahir Sharifuddin, 11, yang dirawat di Unit Pediatrik, dijangka dibenarkan pulang bulan ini.

“Bagi Shahir, kecederaan yang dialaminya lebih teruk kerana mengalami keretakan, namun beliau pulih dengan baik,” katanya.

Dari segi mental dan emosi, Dr Zaininah berkata, ketiga-tiganya diberi rawatan psikologi untuk membantu mengatasi trauma yang dialami.

“Sebelum ini mereka mengalami ‘mimpi ngeri’ berikutan insiden terbabit. Dengan sokongan keluarga yang berterusan, kini mereka sudah boleh tersenyum dan berbual dengan orang lain,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 14 September lalu itu, seramai 23 pelajar dan guru pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan tingkat tiga bangunan dihuni. – MalaysiaGazette