PUTRAJAYA – Dua anggota DAP menghantar memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana tidak berpuas hati pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dijadualkan pada 12 Nov ini melalui kongres khas dan bukan kongres kebangsaan.

Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Taman Ehsan, Klang, L. Pannerselvam, berkata Fasal VIII Perkara 8 perlembagaan parti menyatakan kongres khas hanya boleh diadakan untuk membincangkan perkara tertentu dan bukan untuk tujuan pemilihan.

“Pemilihan tidak boleh diadakan dalam kongres khas melainkan perlembagaan itu telah dipinda tanpa pengetahuan kami,” katanya kepada pemberita sebelum menghantar memorandum tersebut di ibu pejabat RoS, di sini hari ini.

Seorang lagi anggota DAP dari cawangan Bagan Luar, Butterworth, G. Asoghan berkata notis juga perlu diberikan kepada setiap cawangan 10 minggu sebelum pemilihan berlangsung.

“Kami berdua adalah perwakilan pada Kongres Nasional DAP pada 2012 dan ketika itu setiap setiausaha cawangan menerima notis 10 minggu sebelum tarikh pemilihan. Tetapi kali ini kami belum menerima apa-apa notis,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, DAP menerima surat daripada RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC berikutan jabatan berkenaan belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Dis 2012 dan pemilihan semula pada 29 Sept 2013.

Pada Isnin lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu sidang akhbar khas di Kuala Lumpur mengumumkan pemilihan semula CEC DAP akan diadakan 12 Nov ini di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam selepas dipersetujui RoS.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata DAP juga akur dengan arahan RoS untuk menggunakan semula senarai nama 2,576 anggota perwakilan dan senarai asal calon pada pemilihan 2012 untuk sesi pemilihan semula tersebut.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast