KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza malam ini berkongsi berita gembira dengan seluruh peminatnya apabila mengumumkan beliau sudah mengandung empat bulan,
Siti Nurhaliza mengumumkan berita gembira itu pada majlis kesyukuran yang diadakan di kediamannya malam ini.
Menurut Siti Nurhaliza, 38, zuriat yang ditunggu-tunggu hasil pernikahannya selama 11 tahun dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58, dijangka lahir sekitar Mac depan.
“Alhamdulillah, tiada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur dan gembiranya kerana Allah memberikan kurniaan yang terlalu agung ini selepas 11 tahun kami bersabar,” luahnya penuh kesyukuran.
Katanya, itu juga menjadi sebab utama kenapa saya memilih untuk berehat kerana kandungan dan bayi ini menjadi keutamaan.
Sempena dengan pengumuman itu, pasangan suami isteri tersebut mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat yang dihadiri oleh kaum keluarga, sahabat karib serta anak-anak tahfiz.
Pengumuman itu menjawab pertanyaan netizen dan media yang sebelum ini sering berteka-teki mengenai kehamilannya berikutan penyanyi berkenaan tidak muncul dalam pelbagai acara hiburan. – MalaysiaGazette