Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebagai inisiatif bagi memastikan keselamatan penumpang, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan ketika perayaan Deepavali kali ini.

SPAD dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara intensif selama 10 hari bersama PDRM, JPJ, AADK, JKJR dan Pihak Penguatkuasa Lebuhraya dengan kerjasama pengendali, bermula daripada 12 Oktober sehingga 22 Oktober 2017.

Katanya, taktik penguatkuasaan itu termasuk operasi sepanjang 24 jam daripada 12 sehingga 14 Oktober, 17 sehingga 18 Oktober dan 21 sehingga 22 Oktober semasa pergerakan pengguna pengangkutan awam dijangkakan berada di tahap tertinggi.

“Hasil operasi yang dijalankan semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 lalu, 407 kesalahan telah dicatatkan, berbanding dengan 390 kesalahan pada 2016.

“Antara aktiviti-aktiviti yang turut dilaksanakan dengan kerjasama polis dan penguatkuasa lebuh raya bagi menangani isu pengendali dan pemandu yang melanggar undang- undang atau peraturan adalah termasuk audit penguatkuasaan terhadap rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran bagi pengendali yang berisiko tinggi, rondaan di lokasi berisiko tinggi dan perangkap kelajuan serta pemantauan CCTV di Pusat Operasi Lebuh raya.

“Pegawai penguatkuasaan SPAD juga akan meronda lokasi-lokasi di pusat bandar, berhampiran pusat membeli-belah dan terminal-terminal bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap aktiviti ulat tiket,” kata kenyataan itu.

Untuk memantapkan lagi operasi keselamatan jalan raya kali ini, pemeriksaan kaunter-kaunter tiket dan dokumen-dokumen juga akan dilakukan secara rapi di terminal-terminal bas.

Malah, suruhanjaya itu juga telah bertemu pengendali bas ekspres bagi memberikan peringatan kepada mereka untuk sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya melalui penekanan terhadap pematuhan Kod Amalan Industri SPAD (ICOP) serta peraturan keselamatan pada setiap masa.

Menurut SPAD, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang yang sepenuhnya terhadap pengendali yang didapati cuai di dalam pengurusan operasi.

“Ini merangkumi aspek keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan kenderaan. Bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan, lesen pengendali syarikat bas boleh digantung atau dibatalkan.

“Dalam kes-kes berat pula, keseluruhan kumpulan kenderaan milik syarikat bertanggungjawab boleh digantung sementara menunggu audit keselamatan dijalankan dan sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran syarat, tindakan perundangan atau pentadbiran akan diambil,” tegas suruhanjaya itu lagi.

Selain itu, untuk memastikan penguatkuasaan musim perayaan kali ini berjalan lancar, Orang ramai juga dapat memainkan peranan dengan membuat laporan kepada SPAD sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan oleh pengendali melalui hotline 24-jam SPAD di 1-800-88-SPAD (7723), menerusi emel Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Block D, Platinum Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia T: +603 2726 7000 F: +603 2726 7100 http://www.spad.gov.my kepada [email protected] atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD.

Penumpang bas ekspres juga boleh memuat turun aplikasi MeterOn bagi telefon pintar iOS dan Android yang membolehkan mereka membuat laporan terus kepada SPAD atau menyemak status syarikat bas ekspres. – MalaysiaGazette