Sebahagian orang ramai di Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 14 OKTOBER 2017

PETALING JAYA – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjadi antara individu terbaharu yang menggesa agar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan di masa akan datang.

Dalam ceramah beliau di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Guan Eng berkata sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas tampuk pemerintahan Putrajaya, bantuan itu akan diteruskan.

“Kalau anda sokong (PH) untuk ganti BN, kita akan buat (yang) terbaik terhadap negara, pertama hapuskan GST.

“Pada masa yang sama BR1M tetap akan dibayar, kita mampu buat demikian kerana kita bersih dan rakyat pasti dapat wang,” katanya ketika berucap di Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi malam ini.

Terdahulu Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata PH akan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya berkuasa kelak.

Sebelum ini, Pengerusi PH Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Januari lalu berkata bantuan yang dilaksanakan Barisan Nasional akan diteruskan sekiranya memenangi Putrajaya.

Sebelum ini Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa BR1M adalah rasuah kerajaan. -MalaysiaGazette.