Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan 1 Malaysia Negara (YKN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kanan) memberikan manisan kepada salah seorang penerima sumbangan, Ambigai Sivam (dua kiri) pada Program Sumbangan Bantuan Yayasan Kebajikan Negara sempena perayaan Deepavali di Anjung Singgah, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seramai 20 orang yang kurang bernasib baik menerima sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi meringankan mereka menjelang sambutan Deepavali pada 18 Oktober ini.

Sumbangan berupa bentuk hamper dan wang sebanyak RM200 diberikan kepada setiap seorang pada majlis yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Amanah YKN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Selain itu, 10 orang daripada penerima sumbangan juga menerima bantuan sebanyak RM31,000 untuk pembiayaan rawatan dialisis mereka.

“Kerajaan BN (Barisan Nasional) jaga orang susah, miskin dan yang tidak ada kerja serta makan, semua kerajaan bantu di bawah beberapa agensi lain termasuklah juga YKN ini,” kata Shahrizat semasa majlis pemberian sumbangan di Anjung Singgah hari ini.

Kumpulan sasar YKN sama ada pesakit dan keluarga miskin, rakan jalanan (gelandangan) dan sebagainya sentiasa dijadikan keutamaan YKN untuk memastikan mereka menerima bantuan yang sewajarnya pada waktu diperlukan untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi.

Shahrizat juga menekankan YKN akan melipatgandakan usaha dalam menjalinkan kerjasama pintar dengan pihak lain untuk sama-sama membantu kumpulan sasar yang telah dikenalpasti.

Dalam pada itu, seorang penerima sumbangan, Kamalan Ramasamy, 65, berkata bantuan rawatan dialisis yang diterimanya sangat penting dalam meringankan bebannya sekeluarga selepas keadaan kesihatannya merosot sejak lapan tahun lalu kerana masalah pinggang dihadapinya.

“Saya sangat gembira mereka dapat bantu saya, saya seorang ibu tunggal dan kos rawatan untuk dialisis ini mahal mana nak cari duit sebanyak itu untuk pembiayaan,” kata beliau semasa ditemui selepas majlis.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Sarojadevi TS Mohamed Kassim, 57, pula pemberian bantuan tersebut dapat mengurangkan sedikit beban pembiayaan rawatan dialisis yang ditanggungnya dan memuji langkah diambil oleh kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Ya, ia dapat kurangkan beban saya sekeluarga dalam membayar caj untuk setiap kali pergi menjalankan rawatan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast