DHAKA – Warga Bangladesh, Golam Rabbani, yang diusir imigresin Malaysia pada awal tahun ini kerana didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan militan masih tidak dapat dikesan sejak 19 Julai lalu.

Rabbani bersama keluarganya pergi ke Malaysia pada tahun lalu. Para pegawai Malaysia memberitahu keluarga Rabbani bahawa pihak berkuasa Bangladesh telah memohon beliau diusir, lapor Dhaka Tribune.

Seorang pegawai di ibu pejabat polis yang tidak mahu dikenali mengesahkan kepada akhbar itu bahawa Rabbani telah diusir dari Malaysia awal tahun ini.

Beliau tidak dapat menyatakan sama ada sebarang agensi telah mengambilnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal. Dua warga Bangladesh yang diusir dari Malaysia kini berada di bawah tahanan polis.

Bagaimanapun, pegawai bertugas di stesen polis lapangan terbang itu, Noor-E-Azam berkata, beliau tidak sedar mengenai pengusiran tersebut.

Tiada sesiapa memfailkan perkara itu dalam diari am atau kes mengenai kehilangan Rabbani, tambah beliau.

Sementara itu, isteri Rabbani, Nazia Ferdousi yang masih berada di Malaysia dengan tiga anaknya mendakwa kali terakhir dia bercakap dengan suaminya melalui telefon pada 19 Julai lalu, menurut ahli keluarga Rabbani.

Rabbani menghubungi beliau dengan menggunakan telefon penumpang di sebelahnya dalam pesawat Malindo Air kira-kira pukul 10 malam waktu Malaysia (8 malam waktu Bangladesh), beberapa minit sebelum pesawat tersebut berlepas , kata ahli keluarga.

Kakak Rabbani, Nigar Sultana juga bercakap dengan adiknya itu melalui telefon pada malam tersebut apabila Rabbani berkata dia akan pulang, tambah beliau.

Bagaimanapun Rabbani tidak sampai di rumahnya di Bogra atau menghubungi isterinya.

Pihak berkuasa Malaysia memaklumkan kepada isterinya bahawa polis Bangladesh mempunyai beberapa maklumat mengenai hubungan Rabbani dengan militan.

Sebelum pergi ke Malaysia, Rabbani mengusahakan pusat kejurulatihan untuk pelajar di bandar Bogra. Beliau merupakan pelajar Jabatan Sains Politik di Azizul Haque College.

Selain Rabbani, dua suspek pengganas Bangladesh telah ditahan di Malaysia pada tahun ini, kata Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerusi kenyataan media pada Rabu lalu.

Kesemua mereka didapati mempunyai hubungan dengan Daesh ataupun Islamic State (IS), kata ketua polis negara itu.

Dua lagi suspek ialah Redwanul Azad Rana yang dikaitkan dengan kes pembunuhan blogger, Rajib Haider dan rakan Rana, Md Ashraful.

Mereka ditahan di kawasan Uttara, Dhaka oleh unit Polis Counter Terrorism dan Jenayah Transnasional (CTTC) pada Februari lalu.

Rana yang merupakan bekas pelajar North South University meninggalkan Bangladesh sebelum perbicaraan dan dia disabitkan dengan kes pembunuhan itu.

Pada taklimat media selepas penahanan dua suspek itu, Ketua CTTC, Komisioner Monirul Islam berkata, Rana yang merupakan penganjur militan Ansar Al Islam, dahulu dikenali Pasukan Ansarullah Bangla, merupakan perancang utama pembunuhan Rajib. Rana juga dikenali sebagai ‘big brother’.

Rana mula dikenalpasti sebagai suspek kes pembunuhan itu pada 2013. Beliau melarikan diri ke Malaysia pada tahun berikutnya. Walaupun berasal dari Feni, dia mempunyai pasport palsu dengan alamat di Gazipur.

Rana meninggalkan negara itu dengan menggunakan visa pelajar,

CTTC terus berhubungan dengan pihak berkuasa Malaysia. Mereka dimaklumkan Rana dan rakannya, Ashraf telah diusir pada Februari lalu.

Ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, kedua-dua individu itu diekori pasukan CTTC. Mereka ditahan di kawasan Uttara, Dhaka pada hari yang sama.

Rana dan Ashraf cuba pergi ke Syria. Bagaimanapun, setelah cubaan mereka gagal, mereka beralih mendapatkan latihan daripada kumpulan Abu Sayyaf yang berpengkalan di Filipina, kata ketua CTTC itu.

Beliau menambah, Rana mungkin terlibat dalam beberapa serangan militan dan terdapat bukti yang menghubungkaitkannya dengan sekurang-kurangnya tiga serangan sehigga 2015.

Sususlan itu, Rana mungkin terlibat kembali dengan Ansarullah ketika beliau mahu menyertai IS. – Agensi