Home Ekonomi Mavcom paling banyak terima aduan terhadap Malaysia Airlines

Mavcom paling banyak terima aduan terhadap Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima 677 aduan dalam tempoh enam bulan dari Mac hingga Ogos tahun ini.

Secara purata, MAVCOM menerima 17 aduan bagi setiap sejuta penumpang.

Jumlah aduan pengguna itu melonjak sebanyak 92 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, peningkatan bilangan aduan yang dibuat kepada Mavcom itu merupakan petunjuk jelas peningkatan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan.

“Ini amat baik kerana ia menunjukkan kesemua aktiviti kesedaran pengguna yang telah dilaksanakan oleh Mavcom dalam tempoh 18 bulan yang lalu telah mencapai matlamatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, Mavcom berjaya menyelesai dan menutup 99.1 peratus daripada jumlah aduan yang diterima setakat ini.

Jumlah aduan paling banyak yang diterima oleh Mavcom adalah terhadap Malaysia Airlines diikuti Malindo Air dan AirAsia.

Walaupun kedua-dua Malaysia Airlines dan Malindo Air menerima lebih dua kali ganda bilangan aduan dari tempoh yang sama tahun lepas, aduan yang difailkan terhadap AirAsia mengalami penurunan sebanyak 9.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Tiga kategori utama aduan yang difailkan adalah isu berkaitan bayaran balik, kesalahan pengendalian bagasi dan isu penundaan penerbangan, yang secara kolektif membentuk 62.6 peratus daripada jumlah aduan keseluruhan.

Ketiga-tiga kategori aduan tersebut juga mencatat jumlah aduan yang lebih tinggi dilaporkan pengguna masing-masing dengan peningkatan sebanyak 68.5 peratus, 54.2 peratus dan 134 peratus dari tahun ke tahun.

Dari segi syarikat pengendali lapangan terbang, jumlah aduan yang diterima adalah sedikit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast