Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

 

KUALA LUMPUR – Penyebaran pelbagai ‘fatwa’ yang ada kalanya mengelirukan umat Islam sememangnya amat membimbangkan kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Perkembangan mutakhir ini turut menarik perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berikut adalah kenyataan Asyraf yang dimuatnaik di laman sosial Facebook beliau:

SEJAK kebelakangan ini terlalu banyak fatwa pelik-pelik dan mengelirukan masyarakat dikeluarkan oleh ‘ustaz-ustaz’ dan penceramah agama. Ada yang baru popular melalui program realiti TV mahupun media sosial juga sudah berani meletakkan hukum sewenang-wenangnya. Selepas isu dobi, terkini timbul pula isu seperti ‘haram gunting rambut dengan bukan Islam’ dan pelbagai lagi hingga cetus pelbagai polemik dalam masyarakat.

Pesan saya kepada semua, rujuklah pada yang betul-betul berautoriti dalam hal ehwal hukum dan fatwa. Dalam konteks negara kita, hanya Mufti yang dilantik secara sah oleh DYMM Tuanku Sultan-Sultan sahaja yang mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa. Ini sejajar dengan kaedah fekah yang masyhur:

حكم الحاكم يرفع الخلاف
*“Keputusan (atau fatwa) hakim atau mufti (yang dilantik pemerintah) mengangkat segala perbezaan pandangan”.*

Ini bermakna sebarang hukum yang dikeluarkan oleh individu-individu tidak kira berstatus ulamak sehinggalah kepada penceramah agama akan kekal sebagai pandangan agama masing-masing yang tiada apa-apa kesan perundangan.

Sesuatu pandangan agama yang sah dan mempunyai kesan perundangan hanya apabila telah diputuskan oleh para Mufti yang selalunya dibahaskan secara jemaah dengan Jawatankuasa Fatwa (ijtihad jamaie) sebelum diangkat kepada DYMM Tuanku Sultan. Jika diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan dan diwartakan barulah fatwa tersebut sah, mempunyai kredibiliti dan mengikat dari segi perundangan.

Justeru hormatilah autoriti agama dan hentikanlah menyebar dan menular ‘fatwa-fatwa pelik’ daripada individu-individu selain Mufti yang hanya akan mencetuskan kekeliruan, kekeruhan dan polemik yang tidak menguntungkan bahkan boleh menjadi fitnah kepada kesucian agama Islam.

(DR ASYRAF WAJDI DUSUKI)