Prof. Anthony Crothers Milner

KUALA LUMPUR – Pakar Sejarah tersohor, Profesor Anthony Crothers Milner yang banyak terlibat dengan kajian sejarah Malaysia adalah antara penerima Ijazah Kehormat di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2017 yang diadakan pada 21 hingga 24 Oktober ini.

Sumbangan Profesor Milner dalam akademik telah banyak menerima pengiktirafan antarbangsa dan yang terbaru, beliau telah menerima Anugerah Merdeka 2017.

Beliau akan menerima skrol Ijazah Kehormat daripada Canselor UM, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sidang pertama 21 Oktober ini di Dewan Tunku Canselor (DTC).

Istiadat Konvokesyen pada kali ini turut menyaksikan Tan Sri Lee Shin Cheng, usahawan berjaya yang merupakan Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Berhad dikurniakan ijazah Kehormat.

Tan yang pernah digelar sebagai ‘tree talker’ akan dianurgerahkan Ijazah Kehormat pada Sidang keempat.

Bagi penerima Gelaran Profesor Emeritus, individu yang telah terpilih adalah Dr. Lin Hai Peng dan Datuk Dr Zainal Kling.

Lin merupakan pakar Pediatrik sementara Zainal pula merupakan mantan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, UM sebanyak dua kali.

Sidang pada hari pembukaan turut menyaksikan anak kelahiran Kuala Lumpur, Nur Hana Mohamed Ariffin dan anak kelahiran Selangor, Loh Chee Keen, masing-masing dikurniakan Anugerah Pelajaran DiRaja.

Nur Hana, mahasiswa dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat menerima pengiktirafan Anugerah Pelajaran DiRaja ini atas kecemerlangannya dalam bidang akademik dan ko-kurikulum dan telah menerima Anugerah Dekan sebanyak empat kali sepanjang pengajian beliau.

Loh, graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran pula menerima pengiktirafan tersebut atas kecemerlangannya dalam bidang akademik, kepimpinan dan ko-kurikulum sepanjang beliau menjadi mahasiswa di UM.

Universiti Malaya pada tahun ini melakar sejarah apabila jumlah graduan ijazah kedoktoran mencatat jumlah yang tertinggi seramai 645 graduan.

Jumlah keseluruhan graduan bagi Istiadat Konvokesyen UM 2017 adalah 4,867 orang.

Ia termasuk Ijazah Kedoktoran (645) membabitkan Doktor Falsafah 631, Doktor Perubatan (1), Doktor Kesihatan Awam (11) dan Doktor Kesihatan Awam Pergigian (2).

Sejumlah 1,795 orang menerima Ijazah Sarjana dan 2,427 lagi Ijazah Sarjana Muda. – MalaysiaGazette