SEPANG – Seramai 28 peserta program Ekspedisi Road to Annapurna Base Camp (R2ABC) selama 14 hari berlepas ke Nepal hari ini.

R2ABC melibatkan peserta daripada Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat), Unit STORM Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, doktor perubatan dan wakil media seperti MalaysiaGazette, Utusan Malaysia, MalaysiaDigest dan RTM yang akan merakam keseluruhan perjalanan ekspedisi itu untuk terbitan slot khas di stesen televisyen tersebut

Menurut Pengerusi Pertubuhan Nadi Sihat, Datuk Ismail Kijo, program pendakian ini bakal menerapkan pelbagai nilai positif dalam kalangan peserta di samping dapat mengupas kemahiran kendiri dan mengasah ketajaman mental serta kekuatan fizikal para peserta bagi mengharungi segala cabaran yang bakal ditempuhi bersama-sama.

“Saya rasa bersyukur atas sokongan dan kerjasama daripada semua pihak yang telah berganding bahu dalam menjayakan program ini sama ada yang terlibat secara langsung atau pun tidak.

“Ekspedisi ini seiring dengan objektif utama penubuhan Nadi Sihat iaitu untuk membantu kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya di klia2 di sini hari ini.

Majlis pelepasan R2ABC itu disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Hisham Jalil.

Sebelum ini, Pertubuhan Nadi Sihat telah menjayakan program Mount Kinabalu Climbing Challenge 2015, Mount Kinabalu Climbing Challenge 2.0 dan Mount Kinabalu Climbing Challenge 3.0.

R2ABC dilihat sebagai satu inisiatif pertubuhan ini dalam mengorak langkah setapak ke hadapan dengan menganjurkan program ekspedisi bertaraf antarabangsa memandangkan Nadi Sihat hanya memberi fokus dalam penganjuran program dalam negara.

Nadi Sihat juga merupakan pemegang rekod bagi “Longest Banner Display on Mount Kinabalu” yang mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Sementara itu, Ketua Kontijen R2ABC, Mohd. Faizal Shamsudin berkata, bersesuaian dengan pencapaian itu, Nadi Sihat akan meneruskan dengan menebarkan kain rentang mega di puncak Gunung Annapurna pada kali ini.

“Antara pengisian-pengisian yang dirancangkan sepanjang program R2ABC adalah interaksi bersama masyarakat setempat seperti Ziarah Masjid Jame Masjid Aqsa at Pokhara-13, Miyapatan, Pokhara.

“Selain itu, peserta ekpedisi akan memberi bantuan peralatan sekolah di Sekolah Shree Bukha, Deurali serta penganjuran majlis makan malam dan penyerahan sijil bersama Kedutaan Malaysia di Nepal,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif pertubuhan, Shah Mustafa, program ekspedisi ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri memandangkan 14 orang daripada peserta adalah merupakan protege Nadi Sihat yang dilahirkan daripada program zero to hero iaitu pendaki-pendaki yang baru menceburi bidang pendakian.

Selain itu, terdapat seorang peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Encik Muhamed Nazmi bin Muhamed Hanafi yang turut terlibat dalam ekspedisi ini.

Beliau juga berkata, penerapan semangat tidak mudah mengalah dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan peserta amatlah perlu dalam menjayakan misi menakluk Annapurna ini.

“Sebelum ekspedisi bermula, pelbagai persediaan telah dilakukan termasuk latihan pendakian ke pelbagai gunung dan bukit antaranya Bukit Saga, Gunung Jerai, Gunung Pine Tree, Gunung Angsi dan juga Gunung Nuang.

“Latihan sebegini sangat penting agar para peserta dapat membiasakan diri dengan cabaran-cabaran pendakian dan juga untuk mengelakkan kekejangan dan masalah-masalah berbangkit sepanjang pendakian berlangsung.

“Kesedaran beriadah sentiasa ditekankan dalam masyarakat kerana masyarakat yang cergas dapat membantu menyumbang kepada proses pembangunan negara. Bak kata pepatah, akal yang cerdas ada pada badan yang sihat.

“Dari sudut pelancongan pula, program ini dilihat dapat membantu mempromosikan keindahan Gunung Annapurna kepada masyarakat Malaysia agar sama-sama dapat menghayati keunikan alam ciptaan Tuhan ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Nadi Sihat, sila layari laman sosial facebook Pertubuhan Nadi Sihat atau menghubungi sekretariat Pertubuhan Nadi Sihat di talian 03-4265 3012. – MalaysiaGazette