Haslinda Manan merupakan pengasas Zara Rafelda Catering & Event.

KUALA LUMPUR – Memahami kos tinggi yang perlu ditanggung golongan muda untuk satu majlis perkahwinan, Zara Rafelda Catering & Event kini tampil memperkenalkan harga pakej mampu milik dalam meringankan beban mereka.

Dengan hanya harga RM19,900, bakal pengantin tidak perlu pening kepala lagi untuk memikirkan kos-kos lain.

Ini kerana pakej itu lengkap termasuk makanan dan minum untuk 1,000 jemputan dengan menu nasi beriani bersama hidangan empat jenis lauk.

Selain itu, pakej tersebut merangkumi andaman pelamin, kad kahwin percuma, penunjuk arah, PA sistem, kanopi dan khidmat jurugambar.

Pengasas catering berkenaan, Haslinda Manan berkata, pakej itu terbuka kepada pelbagai bangsa dan bagi yang memiliki bajet lebih, terdapat pakej berharga RM24,000 yang berkonsepkan majlis dalam taman.

Zara Rafelda Catering & Event turut menyediakan pakej katering kahwin berkonsepkan dalam taman.

“Kami menjanjikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kerana tidak mengamalkan bisnes tangkap muat dalam sehari. Ini kerana konsep saya hanyalah satu catering satu hari dan maksimum dua katering seminggu.

“Namun pada masa sama, kami juga menyediakan katering untuk majlis-majlis korporat atau minuman petang dengan minuman jemputan seramai 500 orang.

“Bagi yang mengenali Zara Rafelda Catering & Event, menu yang menjadi bualan sudah tentu daging masak hitam, ayam masak merah dan minuma the tarik,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mengulas pengalamannya, Haslinda, 39, memberitahu beliau memulakan perniagaan katering sendiri itu sejak lapan tahun lalu.

Ini kerana beliau sering dijemput untuk memasak dalam kenduri kecil-kecilan kerana memiliki kemahiran yang tinggi dalam penyediaan masakan tradisi.

Apatah lagi, beliau mewarisi bakat memasak daripada ibunya, Siti Rahimah Shafie, 60, yang pernah menjual nasi lemak di tepi jalan, manakala dua ibu saudaranya juga terbabit dalam perniagaan makanan.

Menu utama yang menjadi pilihan iaitu nasi beriani bersama empat jenis lauk.

“Daripada mereka saya mula didedahkan dengan aktiviti memasak dan perniagaan makanan. Namun, pembabitan saya secara serius dalam bidang ini bermula selepas kerap dipanggil untuk memasak dalam kenduri oleh saudara-mara dan rakan.

“Setiap kali dipanggil memasak saya menggunakan resepi keluarga dan ramai yang memuji keenakan makanan itu. Lama-kelamaan saya mula mendapat tempahan makanan untuk pelbagai jamuan dan majlis oleh orang ramai,” katanya.

Ibu kepada dua cahayamata itu berkata, beliau bersama suami, Zulkhirwan Ismail, 41, kemudian mengasaskan perkhidmatan katering dinamakan Zara Rafelda Catering & Event dengan modal RM10,000 selepas mendapat banyak permintaan.

“Tugasan pertama apabila diminta menyediakan hidangan untuk 300 tetamu dalam satu majlis perkahwinan. Ketika itu, banyak kelengkapan tidak cukup dan terpaksa menebal muka meminjam perkakas memasak termasuk pinggan-mangkuk daripada saudara-mara dan rakan.

“Saya bernasib baik kerana keluarga banyak membantu terutama dalam penyediaan makanan. Malah, saya juga dibantu ibu mentua, Munani Hamzah, 60, yang turut memiliki kebolehan memasak.

“Dengan memasak sendiri, operasi perniagaan akan berjalan lebih lancar kerana tidak bergantung kepada orang lain untuk memasak, di samping tidak timbul isu tukang masak berhenti kerja atau tidak komited terhadap tugas mengetuai dapur,” katanya.

Perkhidmatan katering itu kemudian dikembangkan lagi dengan penyediaan perkhidmatan perancang perkahwinan dan percetakan kad serta kain pemidang.

Kini, Haslinda boleh berbangga dengan pencapaiannya dalam perkhidmatan katering apabila mampu mengendali dua majlis besar pada satu-satu masa dengan kapasiti 2,000 tetamu.

Sementara itu, orang ramai yang berminat mendapatkan khidmat Zara Rafelda Catering & Event boleh hubungi talian 012-936 2621. – MalaysiaGazette