Mohd Yusof Apdal, 57, merupakan individu kesembilan daripada 11 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diseleweng daripada sebuah kementerian.
KOTA KINABALU – Tempoh reman terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berkaitan projek luar bandar di Sabah, dilanjutkan dua hari lagi mulai esok hingga Isnin depan.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah sambung reman itu terhadap adik bekas menteri persekutuan yang kini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, setelah tempoh reman sejak 18 Okt lepas berakhir hari ini.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Faliq Basiruddin, ketika ditemui pemberita selepas perintah sambung reman dikeluarkan mahkamah berkata, pihak SPRM memohon tempoh reman terhadap Mohd Yusof disambung selama tujuh hari, namun, mahkamah hanya membenarkan dua hari.

Mohd Yusof, 57, merupakan individu kesembilan daripada 11 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diseleweng daripada sebuah kementerian.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Dana RM1.5 bilion itu adalah sebahagian peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Faliq berkata, Mohd Shafie buat masa ini tidak berada di dalam lokap SPRM tetapi masih berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 bagi menjalani rawatan.

“(Buat) masa ini saya fikir (Mohd Shafie) masih di hospital untuk rawatan. Jika beliau fit (sihat) untuk dimasukkan ke dalam lokap (SPRM), kami akan masukkan. Apa-apa pun, kami menunggu laporan daripada pihak hospital,” katanya.

Mohd Shafie telah dimasukkan ke HQE 2 pada Khamis malam kerana mengalami tekanan darah tinggi sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret pada Jumaat bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast