Kapten Izham Ismail

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd sekali lagi memperoleh peneraju baharu yang akan membantu mengemudi syarikat penerbangan itu meraih keuntungan dengan pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) baharunya.

Kapten Izham, yang ketika ini merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO), akan mengambil alih jawatan GCEO pada 1 Dis depan daripada Peter Bellew, yang kini dalam cuti pentadbiran sebelum beliau kembali berkhidmat dengan syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryanair.

Shukor Yusof, pengasas firma perundingan penerbangan, Endau Analytics berkata kepada Bernama bahawa masa depan Malaysia Airlines akan sekali lagi menjadi tidak menentu selepas pengunduran Bellew dan satu-satunya perkara yang benar-benar pasti bagi syarikat penerbangan itu adalah serahan lapan pesawat Boeing Dreamliners, enam pesawat Airbus A350s dan enam pesawat A330-200s.

Apabila ditanya apakah tugas pertama yang perlu ditumpukan oleh CEO baharu itu, beliau berkata: ‘masih terlalu awal untuk menyatakan apakah yang perlu dilakukan oleh CEO seterusnya kerana CEO berbeza akan mempunyai gaya yang berbeza.”

Semasa perkhidmatannya, Bellew menumpukan kebanyakannya kepada mengawal kos, tambang penerbangan yang kompetitif dan memaksimumkan faktor muatan, bagaimanapun, Shukor berpendapat faktor muatan tidak bermakna sekiranya tidak membawa hasil positif.

Bellew dilantik menerajui syarikat penerbangan nasional itu pada 1 Julai 2016, mengambil alih jawatan daripada Christoph Mueller, yang melepaskan jawatan dua tahun sebelum kontraknya berakhir selepas memberhentikan 6,000 pekerja Malaysia Airlines dalam usahanya untuk menyusun semula kewangan syarikat penerbangan itu.- BERNAMA