PULAU PINANG – Tiga lagi mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan Jalan Lembah Permai Tanjung Bungah, di sini berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) negeri, jumlah itu menjadikan kesemua mangsa yang telah dikeluarkan setakat seramai enam orang daripada 14 mangsa yang tertimbus.

Menurut beliau, mangsa keempat disahkan sebagai Hosrin yang merupakan rakyat Indonesia ditemui kira-kira pukul 11.30 malam dan rakan senegara, Erwin pukul 2.45 pagi tadi.

“Mayat keenam dikenali sebagai Yunus yang merupakan rakyat Myanmar pula dikeluarkan pada pukul 3.59 pagi tadi, ” kata jurucakap berkenaan.

Menurut beliau, pasukan mencari menyelamat meneruskan operasi sehingga lewat pagi tadi kerana mendapat sokong pasukan khas termasuk dari Perak dan Kedah selain bantuan peralatan yang lengkap.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi semalam, 14 orang tertimbus tanah yang runtuh dari lereng bukit yang terletak berhampiran tapak pembinaan tempat mereka bekerja.

Ketika kejadian, kira-kira 20 pekerja binaan itu sedang menyiapkan bahagian bawah tanah pangsapuri mampu milik setinggi 50 tingkat berkenaan namun sebahagian mereka sempat menyelamatkan diri.- MalaysiaGazette