Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abd Samad menyangkal tuduhan dibuat oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung isu Hotel Grand Plaza Kensington yang didakwa sebenarnya bukan milik anak syarikat, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Shahrir mendakwa Rafizi tersilap berhubung tuduhan tarikh penubuhan syarikat FIC Hotel London (private) Limited (FHL) yang merupakan pemilik hotel tersebut dan menegaskan dakwaan Rafizi mengatakan syarikat itu ditubuhkan pada 13 Oktober baru-baru ini adalah tidak benar.

“Sebenarnya, syarikat ini bukan syarikat yang baru. Sebenarnya tarikh 17 Oktober itu adalah tarikh pengesahan salinan asal oleh peguam Anthony Louca,” kata Shahrir dipetik dalam portal BNBBC hari ini.

Oleh sedemikian, Shahrir menegaskan dakwaan terbaru Rafizi berhubung tarikh pendaftaran syarikat itu menyimpang daripada kebenaran.

Menurut Shahrir, tarikh pendaftaran syarikat tersebut sebenarnya adalah pada 5 Jun 2015 sepertimana diperakui oleh peguam, Louca menerusi sijil tersebut.

Dalam pada itu, Shahrir semasa taklimat bersama media di Parlimen petang tadi memberitahu Felda akan menimbang untuk menyaman Rafizi susulan serangan berterusan Ahli Parlimen Pandan itu terhadap FIC.

“Esok FIC akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah yang secara kebetulan akan turut sama membincangkan perkara itu tetapi bukan semata-mata kerana pendedahan oleh Rafizi,” katanya.

Shahrir juga berkata dakwaan yang dibuat Rafizi itu jelas satu fitnah.

Terdahulu, Rafizi semalam mendakwa anak syarikat FIC itu hanya didaftarkan pada 13 Oktober iaitu pada hari sama beliau membuat pendedahan mengenai firma itu tidak memiliki hotel di London.

Namun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mempertikaikan dakwaan itu.

Sebaliknya Razali berkata ia adalah salinan dokumen pendaftaran syarikat yang disahkan sebagai salinan sebenar pada 13 Oktober.

Rafizi pada pada tarikh berkenaan mendakwa Hotel Grand Plaza Kensington dimiliki syarikat yang didaftarkan di British Virgin Islands (BVI) yang dinamakan FIC London Hotel (Private) Limited.

Rafizi mendakwa bahawa BVI FLH tidak dimiliki oleh FIC atau Felda.

FIC, bersama Shahrir dan Razali menafikan perkara itu pada sidang akhbar Ahad lalu, dengan mengatakan bahawa ia memiliki FLH. – MalaysiaGazette