Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim (kiri) bercakap kepada media mengenai Unit Pencegahan Penipuan ditemani Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (kanan) di Pejabat PPIM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat keputusan tidak akan bermuzakarah dengan kepimpinan ajaran Qadiani kerana menghormati titah Sultan Selangor.

Bagaimanapun PPIM akan terus menggesa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk bertindak terhadap rumah ibadat yang digunakan oleh pengikut ajaran itu yang terletak di Kampung Nakhoda di Gombak yang didakwa tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar dirobohkan.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim dan tidak MPS takut untuk mengambil tindakan tersebut kerana ajaran itu terang-terangan bercanggah dengan Islam.

“Peruntukan telah ada apa nak ditunggu lagi? Kalau kurang jentera kita boleh bantu.

“Kalau perlu sokongan kita akan beri beramai-ramai termasuk rakyat Malaysia untuk beri sokongan agar MPS ambil tindakan terhadap rumah ibadat yang tak mendapat kelulusan itu,” katanya pada sidang tergempar di sini petang tadi.

Hishamuddin berkata, penduduk Kampung Nakhoda tidak berpuas hati dan merasa tidak selamat ekoran adanya aktiviti oleh pengikut ajaran itu di tempat mereka agar terus membuat laporan polis tanpa henti.

Ini kerana katanya, langkah itu perlu dilakukan bagi memberi tekanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menggunakan kuasa untuk melindungi penduduk yang berasa terancam dengan kehadiran pengikut ajaran berkenaan.

Tambahnya, PPIM turut menggesa pihak Jabatan Agama Islam Selangor supaya melipat gandakan lagi usaha agar mendapat sokongan daripada rakyat negara ini dalam membanteras ajaran tersebut daripada terus menular.

“Apa sahaja yang dibuat oleh JAIS terhadap penduduk di Kampung Nakhoda berhubung ajaran Qadiani ini pasti akan mendapat sokongan padu daripada seluruh NGO-NGO yang cenderung kepada Islam dan kebaikan.

“Kita juga merayu kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor agar membantu kami kerana tuanku mempunyai kuasa unutk menyelesaikan masalah yang bertapak di Kampung Nakhoda,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Qadiani ancaman serius libatkan akidah