KUALA LUMPUR – Belanjawan 2018 yang dibentangkan hari ini disifatkan rapuh dan hanya retorik politik yang mahu menutup kegagalan Pakatan Harapan dalam mengemukakan agenda ekonomi yang boleh dipercayai.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Belanjawan Alternatif itu sekali lagi mengulangi janji lama seperti memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan tol, selain pendidikan tinggi percuma.
Namun, katanya, pembangkang gagal menyediakan pelan yang konsisten bagaimana janji-janji itu akan dilaksanakan.
Sedangkan, memansuhkan GST akan mendatangkan masalah besar kepada pendapatan kerajaan.
Dan, pembangkang hanya bergantung kepada jangkaan pemotongan cukai akan mendorong peningkatan perbelanjaan dan kutipan cukai.
Tegas Mustapa, #Bajet2018 yang akan diumumkan Perdana Menteri pada hari Jumaat ini bakal menjadi pelan ekonomi yang kukuh dan bertanggungjawab dalam usaha negara mencapai status negara berpendapatan tinggi, berbeza dengan apa yang ditawarkan pembangkang.
Mustapa menambah, ketika pakatan pembangkang ini terus menyebarkan dakyah tidak berasas bahawa Malaysia sedang menuju kebankrapan di bawah Kerajaan Barisan Nasional, mereka sebenarnya yang memacu Malaysia ke arah itu fiskal yang tidak bertanggungjawab.
“Agenda ekonomi hanya boleh dipercayai jika perbelanjaan yang dirancang disokong dengan langkah-langkah penjanaan hasil yang diperlukan,” katanya yang berharap rakyat Malaysia tidak ditipu oleh langkah populis dan tidak lestari yang digariskan dalam Belanjawan Alternatif. – MalaysiaGazette