Pengurus Besar NAFAS yang baharu, Dr. Hamid Sulaiman bersama Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengurus Besar Kanan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr. Hamid Sulaiman dilantik menjadi Pengurus Besar NAFAS yang baharu.

Pelantikan itu berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu.

Pengumuman perlantikan tersebut seiring dengan persetujuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery bin Cheek yang menyerahkan dokumen perlantikan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Putrajaya baru-baru ini.

Hamid, 53, mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pertanian dan agronomi telah berkhidmat di NAFAS sejak tahun 2013 serta turut berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan organisasi.

Beliau memperoleh doktor falsafah dalam bidang Pertanian dari Kagoshima University, Jepun pada tahun 2004.

Beliau juga telah mengikuti Preliminary Japanese Training Program di Kumamoto
University, Jepun sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pertanian di Kagoshima University pada tahun 2000.

Hamid memulakan kariernya pada tahun 1990 di Felda Plantation Sdn Bhd, Felda Agricultural Services Sdn Bhd dan Felda Global Ventures Plantation (M) Sdn Bhd. Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar sebagai Associate Professor di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia selama tiga tahun bermula 2004.- MalaysiaGazette