Datuk Armand Azha Abu Hanifah
Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Datuk Armand Azha Abu Hanifah memberi nasihat kepada Yusuf Azmi yang berhasrat mahu menubuhkan parti politiknya sendiri.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu tidak perlu merasakan dirinya terlalu ‘hebat’ hingga menyalahkan orang lain.

“Baru kena panggil ambil statement (keterangan) oleh polis sudah salahkan kerajaan.

“Untuk maklumat, saya ini siap dilokap oleh polis naik turun mahkamah masih relaks, kerana kita tahu pihak berkuasa laksanakan tanggungjawab mereka sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armand berkata, nasihatnya kepada Yusuf sebagai seorang abang sebelum ini dirasakan seperti “masuk telinga kanan keluar telinga kiri”.

“Nak cabar atau nak tubuh parti politik baru, itu hak anda dan kami senantiasa bersedia untuk berdepan Insy Allah,” ujarnya.

Semalam, Yusuf ketika ditemui wartawan selepas dibebaskan dengan jaminan di Kompleks Mahkamah Kajang memberitahu secara berseloroh mahu menubuhkan sebuah parti baharu yang lebih dinamik.

Langkah itu katanya, sebagai satu cara untuk menarik lebih ramai lagi individu yang mempunyai jiwa dan semangat bagi membantu pengguna dalam kes-kes penipuan selepas merasakan dirinya teraniaya ekoran di dakwa di mahkamah.

Orang kuat PPIM itu juga mendakwa ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mahu mereka dipenjarakan.

Yusuf bersama seorang lagi, Ali Salimin yang merupakan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM didakwa di Mahkamah Majistret Kajang semalam atas dua pertuduhan melakukan khianat dan pencerobohan sebuah stor kereta di sini pada Julai lalu.

Dalam kejadian itu Yusuf dan Ali telah memotong kunci pagar Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd. di Kajang.

Yusuf berkelakuan demikian selepas mendakwa syarikat itu telah menipu 500 individu yang menjadi pelanggannya.

Mereka dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM5,000 dan mahkamah menetapkan 24 November untuk sebutan semula.

Mengulas lanjut, Armand berkata, Yusuf boleh memilih haluannya sendiri sama ada mahu terus berada dalam NGO atau memilih untuk mencebur diri dalam politik.

Dengan memberikan contoh dirinya yang pernah meletak jawatan dalam NGO untuk berada dalam arus politik, Armand menegaskan, susah payah itu akan dapat dirasai sekiranya seseorang itu sudah berada dalam aliran yang dipilih.

“Letak dua belah kaki dalam baru tau susah atau senang dalam perjalanan politik ini.

“Dalam hidup akan senantiasa diuji oleh Allah S.W.T terutama bila mula menongkah arus dalam perjuangan yang pasti akan diuji kesabaran, kekuatan mental, ketaatan, sifat angkuh, sifat bongkak, sifat riak, integriti, ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan.

“Ujian ini akan pasti dilalui kerana hanya yang tabah dan kuat akan berjaya. Ini pandangan ikhlas seorang sahabat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Yusuf dakwa ‘tangan-tangan ghaib’ arah beliau didakwa di mahkamah

Comments are closed.