Azam Baki

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak tidak perlu membuat sebarang spekulasi berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) kerana proses siasatan masih berjalan, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam proses untuk mengambil keterangan daripada pihak luar negara berhubung pembelian hotel berkenaan.

“Keterangan yang akan diambil antaranya melibatkan pihak peguam dan penjual di sana (luar negara) bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Azam berkata SPRM telah selesai mengambil keterangan daripada pihak dalam negara termasuk mengambil segala dokumen berkaitan hotel itu dan Felda memberikan kerjasama penuh.

Beliau berharap mana-mana pihak tidak membuat spekulasi berhubung siasatan kes itu dan SPRM tidak akan mendedahkan butiran siasatan yang masih berjalan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kononnya hotel berkenaan bukan milik FIC malah ia milik sebuah syarikat lain.

Pada Selasa lepas, Felda menegaskan tiada penubuhan syarikat baharu yang beroperasi di London oleh FIC seperti didakwa pembangkang.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Rafizi telah membuat tuduhan yang berat dengan mendakwa kononnya FIC menubuhkan sebuah syarikat baharu bertarikh 17 Okt 2017.

— BERNAMA