KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menganggap Bajet 2018 hanya memberi khayal sementara kepada rakyat.

Sebaliknya, menurut beliau, rakyat bakal menderita pada jangka masa yang panjang kerana peruntukan yang dijanjikan dalam bajet tersebut hanya membawa kebaikan dalam masa singkat.

“Saya menganggap bajet ini sebagai bajet air ketum. Kalau kita tengok, banyak perkara-perkara yang baik diberikan dalam bajet tadi, ianya hanya mengkhayalkan buat sementara waktu. Tapi buat masa panjang, ianya akan menyakitkan rakyat,

“Ibarat minum air ketum, seronok ketika minum, sihat, tapi akan menyakitkan tubuh manusia itu selepas kesannya habis,” katanya.

Tambah Mahfuz, rakyat hanya benar-benar mendapat nikmat melalui bajet yang dibentangkan sekiranya kerajaan mahu menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Rakyat mahu GST dihapuskan, dan ini yang sepatutnya diberikan kepada rakyat, hapuskan GST. Bukan hanya memilih barangan-barangan tertentu sahaja untuk tidak dikenakan GST.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad percaya bahawa bajet yang dibentangkan oleh Najib hari ini hanya senjata pilihan raya kerajaan Barisan Nasional semata-mata.

YB Idris Ahmad bercakap kepada media selepas pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 OKTOBER 2017

“Sudah jelas, semua orang tahu bajet ini adalah untuk pilihanraya. Yang ada ketara kita lihat apabila banyak diberikan di peringkat bawah seperti tok siak, tok batin yang dapat elaun sebanyak RM1,500 contohnya.

“Termasuklah juga dengan bantuan pekebun-pekebun kecil dan sebagainya. Cuma persoalannya, bajet yang lepas dulu, sehingga hari ini masih tidak ada tanda-tanda yang kesemua dijanjikan pada bajet lepas, sudah diterima kepada yang dijanjikan.” – MalaysiaGazette