Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam bercakap ketika sidang media pada Majlis Sambutan Deepavali anjuran MIC di perkarangan kuil Batu Caves, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – “Walaupun semua yang kita minta itu tak dapat, hampir 90 peratus yang diharapkan untuk pembangunan masyrakat India telah dipenuhi Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 di Parlimen hari ini.”

Demikian reaksi Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ketika diminta merumuskan mengenai Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat petang tadi.

“Banyak yang telah diminta, hampir semua yang diminta sudah diberikan PM kali ini walaupun ada sedikit lagi tak ditunaikan.

“Ini pun sudah cukup baik dan menggembirakan antaranya Unit Saham Perbadanan Nasional Berhad bernilai RM1.5 bilion menerusi Amanah Saham Wawasan 1Malaysia yang akan memastikan budaya menyimpan dan melabur golongan B40 masyarakat India akan diperkasakan.

“Seperti biasa peruntukan khas penyelenggaraan Sekolah Tamil berjumlah RM50 juta disediakan lagi kali ini, RM50 juta lagi pinjaman Tekun Nasional juga disdiakan.

“Lebih menarik, masyarakat India gembira dengan berita penerimaan tujuh peratus pelajar India ke universiti awam dijamin dalam Bajet 2018,” ujarnya.

Beliau menyifatkan bajet kali ini lebih memanfaatkan masyarakayt India dalam aspek sosioekonomi dan pendidikan anak-anak yang akan terus terjamin.

“Peluang ini harus digunakan sebaik-baiknya oleh masyarakat India kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette