Home #Bajet2018 Baki kewangan semasa kerajaan lebih tinggi

Baki kewangan semasa kerajaan lebih tinggi

KUALA LUMPUR – Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2017 dijangka mencatat baki semasa lebih tinggi sebanyak RM5.4 bilion, mencerminkan dasar kerajaan dalam memastikan kutipan hasil mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

Laporan Ekonomi 2017/2018 berkata, pendekatan ini melambangkan dasar fiskal berhemat dalam menguruskan perbelanjaan berdasarkan kemampuan.

Setelah mengambil kira perbelanjaan pembangunan, defisit fiskal dianggar berkurangan kepada 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.1 peratus pada 2016.

Baki premier yang tidak mengambil kira bayaran khidmat hutang dianggar mencatat defisit 0.8 peratus daripada KDNK.

Kedudukan baki premier menunjukkan defisit fiskal bagi membiayai program dan projek tahun semasa adalah lebih rendah sebanyak 2.2 mata peratusan KDNK.

Baki premier menunjukkan langkah fiskal semasa memandangkan bayaran khidmat hutang ditentukan oleh jumlah defisit tahun-tahun lalu. – MalaysiaGazette