Home #Bajet2018 Prestasi global bertambah baik

Prestasi global bertambah baik

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar global dijangka berkembang 3.7 peratus pada tahun depan, dipacu oleh pertumbuhan mapan di negara maju serta prestasi ekonomi pasaran baru muncul dan ekonomi membangun (EMDE) yang baik.

Negara maju diunjur mencatat pertumbuhan 2.0 peratus disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh.

Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dijangka terus berkembang 2.3 peratus disumbang oleh permintaan domestik yang mantap berikutan perbelanjaan pengguna yang tinggi, aktiviti pelaburan semakin meningkat dan permintaan luar yang bertambah baik.

Di kawasan euro, pertumbuhan diunjur berkembang sederhana sebanyak 1.9 peratus disebabkan oleh pelaburan lebih perlahan meskipun syarat pembiayaan lebih longgar.

Laporan Ekonomi 2017/2018 berkata, kadar pertumbuhan di United Kingdom juga dijangka lebih perlahan sebanyak 1.5 peratus berikutan kesan ketidaktentuan pasca Brexit mungkin menjejaskan keyakinan perniagaan dan pengguna secara berterusan.

Ekonomi Jepun dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan sebanyak 0.7 peratus disebabkan penarikan balik rangsangan fiskal.

KDNK EMDE diramal meningkat 4.9 peratus disokong oleh permintaan global yang lebih tinggi dan keyakinan pasaran semakin meningkat.

China dijangka menyaksikan berkembang 6.5 peratus manakala India lebih mantap dengan 7.4 peratus, sebahagian besarnya disumbang oleh penggunaan swata yang kukuh serta pelaburan meningkat menerusi pembaharuan struktur utama.

ASEAN pula diunjur mencatat pertumbuhan stabil 5.1 peratus dipacu oleh penggunaan kukuh dan permintaan luar yang meningkat.

Ekonomi global dijangka berhadapan beberapa risiko walaupun diunjur mencapai pertumbuhan lebih baik pada 2018, antaranya ketidaktentuan dasar dalam ekonomi utama seperti perlindungan perdagangan, ketidaktentuan pasca Brexit, pertumbuhan kredit yang berlebihan dan hutang isi rumah yang tinggi.

Selain itu, ketegangan di Timur Tengah dan Asia Timur, kenaikan minyak dan komoditi yang perlahan serta kesan perubahan iklim turut menyumbang kepada risiko tambahan.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara maju diunjur kekal pada 1.7 peratus kerana pertumbuhan sederhana bayaran upah dalam persekitaran tenaga global yang meningkat.

Perdagangan dunia dijangka kekal kukuh 4 peratus berikutan permintaan lebih tinggi dan aliran perdagangan meningkat bagi China dan India. – MalaysiaGazette