BANGKOK – Polis Thai menyelamatkan seorang wanita Malaysia berusia 19 tahun yang dipukul dan dipaksa berkurung dalam sebuah kondominium di pinggir Bangkok oleh sindiket ‘Macau Scam’, yang diketuai seorang gangster Taiwan.

Dalam satu operasi yang dilakukan berdasarkan maklumat daripada Kedutaan Malaysia di Thailand, polis Thai menyerbu sebuah kondominium di kawasan Bangna semalam dan menahan lima lagi rakyat Malaysia serta lelaki Taiwan berusia 29 tahun, yang disyaki menjadi ketua sindiket itu.

Pemangku Timbalan Ketua Biro Polis Pelancong Thai (TPB), Mej Jen Surachet Hakpan berkata, empat lelaki dan seorang wanita Malaysia berusia antara 22 tahun dan 27 tahun, ditahan dalam operasi itu.

“Mangsa mendakwa dia telah ditipu untuk bekerja sebagai operator pusat panggilan dan dikurung di dalam kondominium itu.

“Dia turut dipukul oleh anggota sindiket terbabit,” katanya yang mengetuai operasi itu.

Beliau berkata, mangsa menghubungi Kedutaan Malaysia di Thailand, yang kemudian menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa Thai.

Dalam operasi itu, polis Thai turut merampas komputer, penghala Internet, kad SIM, telefon bimbit, telefon, kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan rakaman, pencetak serta Ipad dari kondominium itu.

Sementara itu, Superintendan Ridzuan Abdul Aziz dari Kedutaan Malaysia memberitahu Bernama, bapa mangsa telah bertemu pegawai kedutaan beberapa hari lalu dan melaporkan mengenai penderitaan yang dialami anaknya.

“Bapanya memaklumkan bahawa anaknya itu telah ditipu (oleh sindiket) dan kerap dipukul kerana enggan terbabit dalam aktiviti mereka,” katanya.

Ridzuan berkata, mangsa berjaya menghubungi bapanya dan memaklumkan mengenai layanan buruk yang diterima daripada sindiket itu.

Mangsa juga mendedahkan maklumat mengenai sindiket terbabit, termasuk alamat kondomium itu.

Berdasarkan siasatan awal, Ridzuan berkata, rakyat Malaysia yang ditahan dalam serbuan itu percaya bahawa mereka akan bekerja dengan sebuah syarikat jualan dalam talian di Bangkok.

“Malangnya, sebaik sahaja tiba di sini, mereka dikurung di dalam sebuah kondominium dan pasport, wang tunai serta telefon bimbit mereka dirampas.

“Mereka disuruh menghubungi mangsa (sindiket) dalam bahasa Cina untuk menawarkan skim palsu. Mereka juga dipukul jika enggan bekerja atau menimbulkan masalah,” katanya.

Ridzuan berkata, polis Thai berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana memberikan maklumat mengenai sindiket itu, yang membuktikan Macau Scam aktif di Bangkok. – Bernama